Jangan tangguh Liga-M

JAMAL NASIR
JAMAL NASIR
A
A
A

PENGANJURAN saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang mula bersambung pada Sabtu lalu kembali mencetuskan tanda tanya susulan pemain daripada beberapa pasukan dijangkiti Covid-19.

Situasi yang berlaku itu menyebabkan ada pihak khususnya dalam kalangan komuniti bola sepak tempatan tampil menyuarakan beberapa cadangan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi menyelamatkan Liga-M musim ini.

Bagi bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail, beliau secara peribadi berpandangan saingan Liga-M musim ini harus diteruskan mengikut perancangan asal MFL.

“Jika hanya beberapa pemain yang dikesan positif Covid-19, ia tidak akan melibatkan keseluruhan pasukan. Bagi pemain yang dikesan negatif itu, bolehlah teruskan, kalau asyik batal atau tunda, sampai bila liga nak habis?

“Liga-M seolah-olah ada kanser dan kanser sahajalah yang kita operate (bedah), bukan bunuh orang yang tak ada kanser. Ini yang saya tak faham dengan apa yang berlaku sekarang.

“Kita patut tengok negara lebih maju, macam mana mereka buat, sebab bola sepak ini satu industri besar. Kita dah masuk era profesional yang mana pemain bergantung sepenuhnya dengan bola sepak.

“Lagi pun, kita dah ambil langkah-langkah yang sewajarnya dan rasanya semua pemain telah lengkap dua dos vaksin. Kalau sekejap tunda, sekejap batal, ia hanya menganiaya industri bola sepak negara,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Beberapa perlawanan Liga-M melibatkan saingan Liga Super dan Liga Premier pada Sabtu dan Ahad berikutan beberapa pemain dikesan positif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Ia membabitkan aksi Liga Super antara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Penang FC di Stadium Darul Aman dan dua perlawanan Liga Premier - Kuching City FC berdepan Terengganu FC (TFC) II serta Sarawak United FC menentang Perak FC II di Stadium Negeri.

Mengulas lanjut, Jamal Nasir berkata, kerajaan juga perlu memikirkan dari pelbagai sudut sebelum memutuskan untuk menunda sesuatu perlawanan dalam saingan Liga-M pada masa hadapan.

“Perkara ini perlu difikirkan daripada banyak sudut. Macam saya kata sebelum ini, bola sepak adalah industri besar di negara ini dan melibatkan banyak pihak.

“Jika Liga-M tidak boleh dijalankan, ia sepatutnya diberitahu sejak awal agar pasukan tidak membuat persiapan, cari pemain, cari dana untuk gaji pemain dan sebagainya.

“Untuk tahun depan, beritahu awal-awal jika tak boleh dianjurkan supaya pihak berkenaan tidak bersusah payah cari pemain dan dana bagi menyediakan pasukan,” ujarnya.