Aiman yakin lima agenda selesai penggal ini

Muhammad Aiman Zainali - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Muhammad Aiman Zainali - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SEMENYIH - Calon PH, Muhammad Aiman Zainali optimis lima agenda dilancarkannya malam semalam mampu direalisasikan dalam penggal ini.

Bahkan, beliau menyifatkan lima agenda berkenaan merupakan sebahagian daripada harapan rakyat Semenyih.Menurutnya, idea tersebut diperolehi sepanjang pengalaman beliau tinggal di Semenyih dan juga suara rakyat ketika beliau berkempen bermula daripada minggu lepas.

“Saya telah berbincang dengan menteri besar (Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari) dan kita melalui beberapa proses.

“Mungkin semua agenda ini dapat dilaksanakan dalam penggal ini.

“Perbincangan bersama kerajaan negeri akan diteruskan dari semasa ke semasa dan kita telah putuskan untuk lancarkannya hari ini (malam semalam),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan lima agenda tersebut dalam majlis Agenda Aiman4Semenyih di Pangsapuri Bandar Rinching, di sini.

Tambah Muhammad Aiman, beliau tidak merasakan pelancaran agenda itu sedikit lambat dan menganggap ia adalah agendanya untuk perjuangkan keperluan rakyat Semenyih.

Dalam pada itu, Amirudin menganggap lima agenda itu menepati kehendak dan keperluan penduduk Semenyih tidak kira penduduk bandar mahupun luar bandar.

Artikel Berkaitan:

“Agenda ini terus dari pengalaman beliau selama berkhidmat menjadi pembantu kepada arwah Bakhtiar Md Nor (bekas Adun Semenyih).

“Saya berpendapat ia juga adalah hasil daripada pertemuan beliau dengan pengundi sepanjang waktu berkempen,” katanya dalam sidang media sama.

Semalam, Muhammad Aiman melancarkan lima agenda buat penduduk Semenyih.

Menurutnya, lima tekad itu adalah manifestasi buat anak muda sepertinya berusaha membangunkan Semenyih.

Tambah beliau, dengan hubungan baik bersama kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat, beliau yakin lima tekad tersebut dapat direalisasikan.

Lima agenda itu adalah Semenyih Lestari; Semenyih Selamat; Semenyih Maju; Semenyih Sihat dan Semenyih Terhubung.