X

Kindly register in order to view this article
!

Penggiat seni Johor bersyukur dibantu kerajaan negeri

Hasni (kiri) bertanya khabar Mat Sentol ketika menyerahkan sumbangan semasa hadir untuk menyampaikan cek Bantuan Insentif One-Off RM500 yang diberikan menerusi PRE Ihsan Johor 3.0 di Larkin Jaya, Johor Bahru pada Ahad.
A
A

JOHOR BAHRU - Penggiat seni di negeri ini bersyukur dengan bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri bagi meringankan beban mereka ketika pandemik Covid-19 menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 sebanyak RM500.

Antara yang menerima sumbangan melalui PRE ialah penyanyi veteran, Zaleha Hamid, 63, atau nama sebenarnya Siti Zaleha Abdul Hamid.

Beliau yang terlantar akibat diserang strok, kini dijaga oleh suaminya, Ungku Sulaiman Ungku Aziz.

Ungku Sulaiman berkata, sejak Zaleha mengalami sakit strok sejak dua tahun lalu, dia menjaga isterinya sepenuh masa.

"Saya tidak bekerja dan mengharap bantuan secara bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan anak kami.

"Kami sangat bersyukur dengan bantuan tunai dan barangan makanan yang diterima, ia meringkan beban kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Uda Utama, Taman Uda Utama, di sini pada Ahad.

Sumbangan itu diserahkan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad

Seorang lagi artis veteran, Abd Rashid Yahaya, 88, yang popular dikenali Mat Sentol, turut memuji langkah kerajaan negeri dalam menyalurkan bantuan kepada penggiat seni termasuk mereka yang sudah tidak lagi aktif.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri yang tidak lupakan golongan seperti kami. Teruskanlah membantu," katanya.

Bagi penggiat seni silat dan teater pula, Othman Jupri, 72 mengakui amat gembira dengan kesudian kerajaan negeri memberi sumbangan kepada penggiat seni.

Katanya, beliau tiada pendapatan akibat Covid-19 kerana tidak boleh mengajar silat dan teater selain hanya bergantung dengan wang yang dikirim oleh dua anaknya yang bekerja di Singapura.

"Memang rindu dengan mereka. Demi mencari rezeki, sudah dua tahun mereka tidak boleh balik. Sejak Covid-19 melanda golongan seperti kami amat terkesan," katanya.

Menerusi PRE Ihsan Johor 3.0 yang diumumkan pada Jun lalu, sebanyak RM500,000 dana disediakan di mana RM1,000 diberikan kepada setiap 11 Badan Gabungan yang berdaftar di bawah Majlis Kebudayaan Negeri Johor, RM1,000 kepada 10 buah Majlis Kebudayaan Daerah dan RM500 kepada 958 penggiat seni di negeri ini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!