Tiada mogok di HTAA, doktor kontrak utama pesakit

Tiada mogok di HTAA pada Isnin. Gambar kecil: Rahimah
Tiada mogok di HTAA pada Isnin. Gambar kecil: Rahimah
A
A
A

KUANTAN - Seramai 78 doktor kontrak di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dianggap profesional kerana tidak melakukan mogok dan lebih mengutamakan kepentingan pesakit.

Pengarah HTAA, Dr Rahimah Ibrahim berkata, pengurusan HTAA menyambut baik keputusan mereka untuk tidak terlibat aktiviti mogok tersebut.

"Alhamdulillah tiada sebarang gangguan terhadap perkhidmatan kita hari ini (Isnin). Pegawai perubatan kontrak sama ada bertugas di klinik atau wad masih meneruskan kerja mereka.

"Saya gembira apabila mereka berfikir secara profesional dan mengutamakan kerja serta kepentingan pesakit," katanya ketika ditemui pemberita di HTAA pada Isnin.

Berdasarkan maklumat, keseluruhan kakitangan perubatan di HTAA berjumlah 3,400 anggota termasuk 78 doktor kontrak.

Tinjauan Sinar Harian di HTAA sejak jam 11 pagi mendapati tiada kumpulan doktor kontrak melintasi pekarangan pusat rawatan harian HTAA.

Menurut Rahimah menambah, kerajaan mendengar dan mengambil perhatian kepada isu yang mereka bangkitkan dan beberapa cadangan juga telah diumumkan.

Mogok doktor kontrak itu dijadualkan di adakan di hospital dan klinik kesihatan seluruh negara selepas kerajaan didakwa gagal memenuhi beberapa tuntutan kumpulan doktor kontrak dalam perkhidmatan awam.

Artikel Berkaitan:

Pada Ahad, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah merayu supaya doktor kontrak tidak meneruskan hasrat mereka mengadakan mogok.

Melalui Facebooknya beliau turut meminta doktor kontrak tidak mengabaikan pesakit yang boleh menjejaskan ratusan nyawa sekali gus kerjaya mereka sendiri.