Enam individu ditahan bersama dadah bernilai RM86,768

No Image Caption
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran dan memproses dadah selepas menahan enam individu termasuk dua pasangan suami isteri bersama dadah bernilai RM86,768.65 dalam siri serbuan di sekitar negeri itu bermula 22 Julai hingga Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJK) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan pihaknya sejak dua minggu lepas, polis menahan dua lelaki berusia 34 dan 40 tahun di dalam sebuah kereta di tepi jalan pada jam 5 petang di kawasan Juru di sini pada 22 Julai lepas.

"Polis merampas 4,524 gram (heroin) bernilai RM50,261.64 dari dua penganggur itu yang dipercayai baru mendapatkan bekalan dadah tersebut. Ekoran penahanan itu, polis menyerbu sebuah tempat mencuci kereta di Juru dan menahan seorang lagi lelaki berusia 30 tahun.

"Kami turut merampas syabu seberat 228g bernilai RM8,208 dalam beg lelaki itu dan dia membawa polis ke sebuah pangsapuri di Simpang Ampat, di sini dan kami menahan seorang wanita berusia 27 tahun yang merupakan isterinya serta merampas 758g syabu bernilai RM27,288 di rumah tersebut," katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Katanya, hasil siasatan lanjut, polis menyerbu sebuah lagi rumah pangsapuri di Butterworth pada jam 5.30 petang Sabtu dan menahan sepasang suami isteri berusia 37 tahun dan merampas 91g heroin bernilai RM1,011 bersama pelbagai peralatan serta bahan kimia disyaki untuk memproses heroin.

Mustafa Kamal berkata, siasatan pasangan suami isteri ini mempunyai kepakaran memproses heroin dan mereka memproses semula dadah yang diperoleh bagi mendapatkan heroin dalam jumlah yang lebih banyak.

Katanya, sindiket itu dipercayai beroperasi sejak awal tahun ini dan mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian mereka di Kedah dan negeri ini sebelum memasarkan semula kepada pelanggan di sekitar Juru, Perai, Seberang Jaya serta Butterworth.

"Mereka yang ditahan mempunyai peranan masing-masing iaitu dua lelaki pertama yang ditahan berperanan sebagai mengambil dan mengedar dadah manakala pasangan suami isteri pertama iaitu lelaki bekerja sebagai juruteknik kilang manakala isterinya guru tadika swasta menjadikan rumah sewa mereka sebagai tempat menyimpan bekalan dadah.

Artikel Berkaitan:

"Pasangan suami isteri kedua itu pula memproses heroin dan turut menjadikan rumah mereka sebagai tempat menyimpan dadah sebelum ia dijual kepada pembeli. Ketua sindiket itu ialah lelaki berusia 40 tahun berkenaan," katanya.

Katanya, sindiket itu membeli dadah heroin dengan harga RM2,700 bagi setiap 454g dan menjualnya semula dengan harga RM3,400 dan difahamkan mereka mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit setiap bulan.

Beliau berkata, semua dadah dirampas iaitu 4,615g heroin dan 986g syabu yang kesemuanya bernilai RM86,768.65 itu boleh digunakan 28,005 penagih dadah dan dalam siri serbuan tersebut, polis turut menyita wang tunai RM1,250, sebuah motosikal serta tiga kereta termasuk jenis Audi TT yang kesemuanya bernilai RM162,250.

Katanya, keempat-empat suspek lelaki yang ditahan itu positif dadah serta mempunyai 1 hingga 13 rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah. Kemua enam individu tersebut kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan menurut 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama