Tujuh individu dikompaun buang sampah di Pasar Taman Sri Gombak

Surat kompaun dihantar ke rumah pelaku pada 23 Julai lalu.
Surat kompaun dihantar ke rumah pelaku pada 23 Julai lalu.
A
A
A

GOMBAK - Seramai tujuh individu menerima kompaun daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) selepas dikesan membuang sampah di rumah sampah, Pasar Taman Sri Gombak baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, kesemua kompaun bernilai RM1,000 itu dihantar ke rumah pelaku yang dikesan melalui semakan nombor pendaftaran kenderaan di Aplikasi i-Sikap.

Menurutnya, MPS kesal dengan sikap segelintir orang awam masih tidak mematuhi larangan pembuangan sampah di Pasar Taman Sri Gombak kerana tong sampah berkenaan dikhaskan kepada peniaga pasar sahaja.

Antara kenderaan yang dikesan membuang sampah di rumah sampah, Pasar Taman Sri Gombak.
Antara kenderaan yang dikesan membuang sampah di rumah sampah, Pasar Taman Sri Gombak.

"Tindakan tidak bertanggungjawab ini bukan hanya dilakukan oleh penjaja dan juga pekedai luar pasar berkenaan tetapi melibatkan individu.

"Isu limpahan sampah di pasar ini berlarutan hampir dua tahun apabila rumah sampah yang dibina untuk kegunaan peniaga di pasar turut digunakan pihak luar sehingga menyebabkan masalah kebersihan di sekitarnya," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Zin memberitahu, sejak Januari hingga kini, sebanyak 34 kompaun telah dikeluarkan di bawah Seksyen 5, Undang-undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah (MPS) 2007 atas kesalahan tersebut.

Justeru MPS mengingatkan masyarakat membuang sampah domestik di tong sampah kediaman masing-masing dan peka dengan jadual kutipan sampah di kawasan mereka.

"MPS akan menjalankan pemantauan dan tindakan ke atas pelaku terutama di kawasan 'hotspot' bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Untuk maklumat lanjut berkaitan kutipan sisa pepejal, orang ramai boleh melayari https://www.mps.gov.my/ms/perkhidmatan-pembersihan atau menghubungi pihak KDEB Waste Management di 03 – 6128 3364," katanya.