Teks penuh ucapan Perdana Menteri

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini. -Foto Bernama
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Agenda prihatin rakyat merupakan antara tumpuan utama kerajaan menerusi lapan pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan bertujuan membantu kumpulan berpendapatan B40 dan M40 melalui beberapa langkah bantuan tunai secara langsung.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, di bawah pakej terbaharu iaitu Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) misalnya, kerajaan meneruskan pemberian Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan memperkenalkan Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP).

Berikut teks ucapan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ketika memberi penerangan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam Sidang Khas Dewan Rakyat pada Isnin:

Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Datuk Yang Dipertua,

1. Dengan penuh rasa syukur kehadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala dan selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, saya dengan penuh takzim berdiri di Dewan yang mulia ini menurut Peraturan Mesyuarat 11 (3) untuk menerangkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat mengenai pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara atau PPN.

2. Pelan ini yang mengguna pakai pendekatan whole of nation adalah bertujuan untuk menggembleng kerjasama seluruh anggota masyarakat dan Kerajaan dalam mengatur strategi peralihan keluar daripada krisis berkembar kesihatan dan ekonomi yang sedang kita hadapi pada hari ini.

3. Sebelum saya memulakan penerangan, saya mewakili Kerajaan dan seluruh Ahli Parlimen dengan perasaan sedih dan hiba ingin menyampaikan salam takziah buat semua ahli keluarga mangsa Covid-19 yang telah diuji dengan kehilangan insan-insan tersayang.

Artikel Berkaitan:

4. Datuk Yang Dipertua, saya memohon izin untuk kita semua bertafakur seketika dan membaca surah Al-Fatihah bagi mengingati mangsa-mangsa yang telah meninggal dunia. Al-Fatihah.

5. Terima kasih Datuk Yang Dipertua dan semua Ahli Dewan yang mulia.

Ancaman Covid-19: An unprecedented event

Datuk Yang Dipertua,

6. Hakikatnya, sudah lebih 18 bulan negara kita ditimpa musibah wabak Covid-19. Apa yang berlaku pada hari ini dengan izin, is an unprecedented event at an unimaginable scale. Ancamannya lebih besar jika dibandingkan dengan krisis ekonomi dan kewangan yang pernah melanda negara dalam tempoh empat dekad yang lalu. Malah ketika dunia dilanda virus SARS pada tahun 2003, keadaan ekonomi dunia tidaklah seteruk yang berlaku hari ini.

7. Sehingga kini, Covid-19 telah melanda lebih 200 buah negara, menjangkiti lebih 190 juta manusia dan meragut empat juta nyawa. Lebih membimbangkan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO telah memberi amaran mengenai penularan Variant of Concern (VOC) yang lebih agresif dan mudah menjangkiti seperti varian Delta atau varian mutasi berganda.

8. Varian Delta dikatakan lebih mudah merebak dan menjangkiti individu lain dengan pantas. United Kingdom misalnya telah menyaksikan kadar jangkitan meningkat kepada lebih 50 ribu kes sehari. India pula merekodkan jangkitan kes harian tertinggi sebanyak 414 ribu pada awal Mei yang lalu, malah Indonesia juga merekodkan kes kematian harian tertinggi melibatkan lebih 1,200 mangsa.

9. Malaysia tidak terkecuali daripada berdepan peningkatan kes yang mendadak ini.

Pelaksanaan 8 Pakej Rangsangan Ekonomi Dan Sumber Pembiayaan di bawah Kumpulan Wang Covid-19 (KWC-19)

Datuk Yang Dipertua,

10. Biarpun dalam waktu sukar yang sedang kita hadapi kini, Kerajaan sentiasa berusaha untuk melakukan yang terbaik demi rakyat dan negara. Sejak Kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih tampuk pemerintahan negara, kami diuji dengan krisis kesihatan dan ekonomi yang getir. Kami mempunyai pelbagai kekangan termasuk dari segi sumber manusia dan kewangan.

11. Namun, Kerajaan sedar bahawa dalam keadaan yang sukar ini, rakyat bergantung kepada keprihatinan Kerajaan untuk membantu mereka keluar daripada permasalahan yang dihadapi. Oleh itu, Kerajaan telah melaksanakan lapan Pakej Rangsangan Ekonomi dengan pelbagai bantuan tunai kepada rakyat.

12. Bermula dengan pakej PRIHATIN, kemudiannya PRIHATIN PKS Tambahan, dan diikuti dengan PENJANA, KITA PRIHATIN, PERMAI, PEMERKASA, PEMERKASA Tambahan dan terkini pakej PEMULIH dengan nilai keseluruhan 530 bilion ringgit. Semua ini dilaksanakan semata-mata untuk satu tujuan murni iaitu memastikan kehidupan dan kebajikan rakyat sentiasa terbela.

13. Agenda prihatin rakyat merupakan antara tumpuan utama Kerajaan yang bertujuan membantu kumpulan berpendapatan B40 dan M40 melalui beberapa langkah bantuan tunai secara langsung.

Misalnya, di bawah pakej terbaharu iaitu PEMULIH, kita akan meneruskan pemberian Bantuan Prihatin Rakyat (atau BPR) dan memperkenalkan Bantuan Khas COVID-19 (atau BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (atau BKP). Seperti yang semua sedia maklum, setiap bulan mulai Julai hingga Disember nanti akan dipastikan rakyat dalam kategori B40 akan dibantu dan Kerajaan bercadang menyalurkan bantuan bernilai sebanyak 10 bilion ringgit.

14. Selain itu, peruntukan bagi program bakul makanan yang kini masih rancak dijalankan turut dipanjangkan kepada semua Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara tanpa mengira perbezaan parti politik.

Saya menerima laporan, ada beberapa kawasan Parlimen telah berjaya mengagihkan bantuan kepada kumpulan sasar dalam tempoh tidak sampai seminggu. Tahniah saya ucapkan.

15. Kerajaan juga telah membenarkan moratorium pinjaman bank selama 12 bulan, iaitu 6 bulan pada tahun lepas dan 6 bulan lagi melalui pengumuman pakej PEMULIH baru-baru ini. Kerajaan juga meneruskan pemberian diskaun bil elektrik dan subsidi minyak masak dan minyak petrol untuk manfaat rakyat. Di samping itu, pelaksanaan program latihan dan peningkatan kemahiran turut dilaksanakan sebagai persediaan dalam meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

16. Bagi menyokong kelangsungan perniagaan dan mengekalkan pekerjaan terutamanya dalam sektor terjejas, Kerajaan telah melaksanakan Program Subsidi Upah bagi menampung sebahagian kos majikan untuk membayar gaji pekerja. Kerajaan juga turut membantu menyalurkan bantuan kewangan secara bersasar kepada sektor khusus seperti pusat asuhan anak-anak, gym, kantin sekolah dan agensi pelancongan.

17. Khusus bagi PKS, Kerajaan memahami kesukaran yang dihadapi para usahawan dalam menjamin kelangsungan perniagaan mereka. Oleh itu, Kerajaan telah bersetuju menyediakan bayaran tambahan di bawah Geran Khas Prihatin atau GKP sebanyak satu ribu ringgit yang akan dibayar masing-masing sebanyak 500 ringgit pada bulan September dan November nanti.

Selain itu, bagi menyokong agenda digitalisasi usahawan PKS, Kerajaan turut menyediakan geran padanan sehingga lima ribu ringgit bagi pembelian sistem atau langganan platform digital melalui program SME Digitalisation Grant.

18. Bagi terus menyokong sektor PKS mendapat kemudahan pembiayaan dan bangkit semula dalam fasa pemulihan, Kerajaan akan meningkatkan had siling jaminan di bawah SJPP sebanyak 20 bilion ringgit. Bank Negara Malaysia juga komited untuk menyediakan akses bantuan kewangan kepada usahawan PKS dengan menambah dana pinjaman mudah bagi PKS sebanyak 4 bilion ringgit lagi untuk tahun 2021.

Setakat hujung bulan Jun 2021, masih terdapat baki keseluruhan dana pembiayaan PKS berjumlah 8.6 bilion ringgit untuk dimanfaatkan oleh PKS.

19. Di bawah pakej PEMULIH, PKS juga boleh mendapatkan kemudahan mikrokredit sehingga 1.1 bilion ringgit yang disediakan oleh AgroBank dan Bank Simpanan Nasional masing-masing berjumlah 500 juta ringgit dan TEKUN sebanyak 100 juta ringgit.

Oleh yang demikian, adalah diharapkan dana-dana ini dapat memenuhi pelbagai keperluan PKS dan usahawan mikro dalam menggerakkan semula perniagaan selaras dengan pembukaan ekonomi di bawah PPN.

20. Semua pengumuman pakej rangsangan ini sebahagiannya telah dan akan dibiayai menggunakan Kumpulan Wang Covid-19 (atau KWC-19). Penubuhan KWC-19 adalah berlandaskan perundangan di bawah Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) 2020 [Akta 830] yang diluluskan sebulat suara oleh Dewan yang mulia ini.

21. Penjelasan lanjut berhubung kesemua pakej bantuan dan perbelanjaan di bawah KWC-19 ini akan diperincikan oleh YB Senator Datuk Seri Utama Menteri Kewangan semasa sesi penerangan Pakej[1]pakej Bantuan Ekonomi pada 29 Julai nanti.

22. Apa yang penting adalah, pelaksanaan kesemua pakej ini telah memanfaatkan lebih 20 juta rakyat serta 2.4 juta premis dan entiti perniagaan setakat ini. Lebih 200 bilion ringgit telah dimanfaatkan dalam tempoh berkenaan.

Pelan Pemulihan Negara (PPN)

Datuk Yang Dipertua,

23. Pada 15 Jun yang lalu, saya telah mengumumkan mengenai pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (atau PPN) sebagai sebuah roadmap dan strategi peralihan keluar dari krisis Covid-19 secara berfasa. Peralihan ini merangkumi empat fasa di mana peralihan sesebuah negeri dari satu fasa ke fasa yang selanjutnya melibatkan pembukaan aktiviti ekonomi dan sosial secara beransur.

24. Peralihan ke suatu fasa tidak mengikut jadual masa, tetapi berlandaskan pencapaian kita bersama untuk mengurangkan kadar penularan Covid-19, mengurangkan tekanan kapasiti sistem kesihatan serta meningkatkan tahap perlindungan rakyat menerusi suntikan vaksin.

25. Pelan pemulihan seperti ini turut dilaksanakan oleh banyak negara antaranya United Kingdom, Australia dan Singapura. Kita belajar, meneliti dan mengambil amalan terbaik dari negara-negara tersebut supaya acuan Pelan PPN ini dapat dijadikan panduan penting dan sebagai asas kepada proses pemulihan negara.

Lima ciri-ciri utama PPN

26. Saya ingin jelaskan, Pelan Pemulihan Negara ini dirangka berdasarkan lima ciri utama iaitu:

Pertama: Mengimbangi keperluan melindungi nyawa dan kehidupan, iaitu sebuah pelan yang melihat ke hadapan atau dengan izin forward-looking bagi memastikan keselamatan nyawa, kesejahteraan ekonomi dan kelangsungan hidup rakyat diambil kira. Prinsip ini juga memenuhi tuntutan agama di bawah maqasid shariah iaitu kaedah hifzu al-nafs atau memelihara nyawa dan hifzu al-mal atau melindungi harta dan ekonomi;

Kedua: Bersifat dinamik dan penyesuaian berterusan, iaitu sebuah pelan yang sentiasa dikemas kini, relevan serta berlandaskan sains dan data dalam menghadapi situasi yang tidak menentu bagi memastikan kesiapsiagaan negara sewaktu tempoh peralihan fasa. Pelan PPN akan disokong dengan fakta[1]fakta sains, penilaian indikator dan bukti empirikal, dan tidak sekadar andaian semata-mata;

Ketiga: Memberi penjelasan dan penerangan sebagai panduan bagi memperincikan perancangan, serta menekankan aspek ketelusan ke atas setiap perkara dalam membina semula kepercayaan;

Keempat: Mengguna pakai pendekatan whole of nation iaitu sebuah pelan yang melibatkan peranan segenap lapisan masyarakat. Kejayaan PPN bergantung kepada pendekatan ‘keseluruhan negara’ dan kerjasama erat sama ada di pihak kerajaan pusat, kerajaan negeri, parti politik, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta, NGO dan rakyat. Semuanya perlu memainkan peranan dalam usaha memulihkan negara; dan

Kelima: Membuat pemantauan dan memastikan keberkesanan prestasi, iaitu sebuah pelan yang menilai keberkesanan pelaksanaan melalui pelaporan dan strategi komunikasi yang berkesan.

27. Ringkasnya, PPN adalah sebuah pelan pemulihan yang menumpukan kepada strategi untuk keluar dari ancaman Covid-19 secara selamat dan sistematik. Fasa-fasa yang digariskan adalah tertumpu kepada usaha untuk meringankan beban ke atas kapasiti sistem kesihatan awam, membuka semula sektor ekonomi, dan membenarkan aktiviti sosial dalam tempoh masa enam bulan sehingga akhir tahun ini.

28. PPN tidaklah statik tetapi dinamik, komprehensif dan boleh ditambah baik mengikut keperluan dan situasi semasa.

Objektif dan peralihan fasa PPN

Datuk Yang Dipertua,

29. PPN merupakan pelan hala tuju berfasa untuk menyokong peralihan keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak hanya bergantung kepada pelaksanaan PKP secara menyeluruh. Sebaliknya Kerajaan akan melaksanakan strategi yang lebih holistik merangkumi program imunisasi serta pelaksanaan saring, jejak dan asing atau dengan izin, test, trace and isolate dengan skala besar serta kadar yang lebih pantas.

30. PPN akan menumpukan kepada lima objektif utama, iaitu Pertama: Melindungi sektor kesihatan awam dengan mengurus penularan wabak, mengurangkan kemasukan ke hospital dan meminumkan kadar kematian;

Kedua: Memastikan sistem kesihatan yang mampan; Ketiga: Melaksanakan vaksinasi secepat mungkin bagi melindungi rakyat;

Keempat: Membuka semula ekonomi dan membenarkan aktiviti sosial secara berperingkat dengan kepatuhan SOP yang ketat; dan Kelima: Responsif dan fleksibel dalam mengadaptasi evolusi persekitaran.

31. Sebagai hala tuju ke arah membuka semula sektor ekonomi, PPN menggariskan empat fasa peralihan merangkumi perincian SOP untuk setiap fasa. Peralihan fasa bagi sesebuah negeri akan dinilai dan dipertimbangkan berdasarkan tiga indikator nilai ambang yang saya telah jelaskan tadi, iaitu purata bilangan kes harian, kadar penggunaan katil di wad ICU dan peratusan rakyat dewasa yang lengkap divaksinasi.

32. Bagi Fasa Pertama PPN, ia melibatkan PKP secara menyeluruh iaitu aktiviti sosial tidak dibenarkan sama sekali dan aktiviti ekonomi pula hanya dibenarkan beroperasi terhad kepada senarai positif perkhidmatan perlu seperti kedai runcit, pengilang barangan kesihatan, perkhidmatan utiliti dan lain-lain. Kapasiti bekerja secara fizikal pula dihadkan kepada 60 peratus sahaja.

33. Untuk beralih daripada Fasa Pertama ke Fasa Kedua, sesebuah negeri itu hendaklah memenuhi ketiga-tiga nilai ambang iaitu mengurangkan kadar kes harian ke bawah angka 12.2 kes bagi setiap 100,000 penduduk, menstabilkan kadar penggunaan katil di wad ICU ke tahap sederhana dan memberi dos vaksin yang lengkap kepada lebih 10 peratus daripada penduduk dewasanya.

Alhamdulillah, sehingga kini, lapan buah negeri iaitu Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak sudah beralih ke Fasa Kedua.

34. Fasa Kedua PPN pula umumnya masih melibatkan pelaksanaan PKP yang ketat iaitu aktiviti sosial masih dihadkan dengan aktiviti ekonomi dibuka secara beransur-ansur dengan menambah bilangan sektor dalam senarai positif. Antaranya termasuklah sektor pembuatan automotif dan barangan besi, kedai barangan elektrik dan gunting rambut serta lain-lain lagi. Kapasiti bekerja secara fizikal pula ditingkatkan kepada 80 peratus kehadiran di tempat kerja.

Kelonggaran juga diperkenalkan bagi membenarkan beberapa aktiviti sukan dan riadah di kawasan terbuka.

35. Fasa Ketiga PPN melibatkan pembukaan aktiviti sosial dan ekonomi yang lebih luas selaras dengan lebih daripada 40 peratus penduduk negeri yang berkenaan menerima dos lengkap vaksin.

Semua aktiviti ekonomi akan dibenarkan beroperasi kecuali bagi senarai negatif, iaitu sektor-sektor berisiko jangkitan yang tinggi seperti spa dan kelab malam. Kapasiti bekerja secara fizikal masih dikekalkan pada kadar 80 peratus kehadiran di tempat kerja.

36. Fasa Keempat merupakan fasa terakhir. Selaras dengan kadar vaksinasi negara pada tahap 80 peratus penduduk dewasa, aktiviti[1]aktiviti sosial dan ekonomi akan dibenarkan beroperasi dalam suasana norma baharu. Aktiviti pelancongan domestik, persembahan dengan penonton serta aktiviti sukan berkumpulan misalnya sudah boleh kembali dijalankan.

37. Dari semasa ke semasa, Kerajaan akan terus memantau keadaan di setiap negeri dengan rapi termasuk mengambil langkah intervensi mengikut keperluan. Di samping itu, Kerajaan akan tetap melaksanakan penilaian risiko termasuk menilai kesediaan mana[1]mana negeri untuk beralih ke Fasa Kedua, Ketiga atau Keempat.

38. InsyaAllah, dengan usaha berterusan untuk menggerakkan proses pemulihan dan program imunisasi yang sedang berjalan lancar, kita jangkakan kebanyakan negeri dapat beralih ke fasa keempat seawal bulan Oktober nanti.

39. Saya juga ingin jelaskan, Kerajaan sudah memutuskan di Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara, bagi negeri yang sudah berada di fasa kedua, ia tidak akan kembali ke fasa pertama. Begitu juga dengan negeri yang beralih ke fasa ketiga tidak akan patah balik ke fasa kedua. Ini kerana, pendekatan PPN menekankan dengan izin, exit strategy and no turning back.

40. Walau bagaimanapun, manusia merancang, tetapi perancangan Allah jualah sebaik-baiknya. Saya ingin memaklumkan, sekiranya berlakulah semula peningkatan kes di negeri tersebut, Kerajaan akan mengetatkan kawalan pergerakan berdasarkan lokaliti tanpa perlu membuat perintah kawalan menyeluruh ke atas negeri atau wilayah sepertimana yang dilaksanakan kini.

Datuk Yang Dipertua,

41. Secara keseluruhan, PPN ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan untuk memberi tumpuan kepada pembukaan semula ekonomi dan aktiviti sosial secara teratur dan berperingkat. Kesinambungan PPN dan langkah-langkah pemulihan ekonomi lain akan diperincikan semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 dan Bajet 2022. Insha-ALLAH, RMKe-12 dijangka akan dibentangkan di Dewan yang mulia ini pada 20 September dan Bajet 2022 pada 29 Oktober nanti.

42. Saya juga ingin maklumkan, Bajet 2022 akan menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu agenda memacu pemulihan ekonomi, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan, atau dengan izin Recovery, Resilience, Reform.

Sehubungan ini, tumpuan khusus akan diberikan kepada usaha untuk memulihkan sektor terjejas seperti pelancongan, meningkatkan keupayaan sistem kesihatan awam serta skop perlindungan sosial dan merancakkan ekonomi digital dalam usaha mengukuhkan daya saing negara dalam menghadapi norma baharu global.

43. Insha-ALLAH, Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan buat pertama kalinya akan menerbitkan kenyataan Pra-Bajet atau dengan izin pre-budget statement termasuk dokumen konsultasi rakyat mengenai tumpuan dasar pada bulan Ogos nanti selaras dengan usaha meningkatkan ketelusan proses serta penglibatan rakyat dalam penyediaan Bajet tahunan.

44. Selain itu, sebagai elemen utama penyampaian maklumat mengenai pelaksanaan PPN kepada masyarakat awam, sebuah Portal Pelan Pemulihan Negara dibangunkan sebagai pusat rujukan sehenti yang memaparkan indikator-indikator terkini serta maklumat berkaitan PPN, manfaat dan juga SOP terkini, dengan cara yang lebih mesra pengguna.

Pembentukan Majlis Pemulihan Negara (MPN)

Datuk Yang Dipertua,

45. Bagi memastikan PPN berjalan seperti dirancang dan dipantau dengan teliti, YB Senator Datuk Seri Utama Menteri Kewangan telah dilantik sebagai Menteri Penyelaras PPN. Kerajaan juga telah menubuhkan Majlis Pemulihan Negara (atau MPN) dengan penyertaan wakil-wakil dari sektor swasta, pakar industri, NGO dan wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak. Alhamdulillah, saya sendiri telah mempengerusikan mesyuarat pertama MPN ini pada 23 Julai lalu.

46. Kerajaan juga menjemput tiga wakil pembangkang untuk menganggotai MPN, iaitu masing-masing seorang dari parti Pakatan Harapan, Warisan dan Pejuang untuk berkongsi pandangan dan nasihat dalam pelbagai aspek pelan pemulihan.

Memastikan keberkesanan program imunisasi

Datuk Yang Dipertua,

47. Seterusnya, saya ingin menyentuh mengenai respon Kerajaan terhadap penularan wabak Covid-19 melalui kempen imunisasi untuk seluruh rakyat Malaysia. Melalui Pelan PPN, Kerajaan akan memastikan proses vaksinasi dijalankan dengan teratur, cepat dan meliputi seluruh pelusuk negara.

Kita juga berharap penularan Covid-19 ini tidak berterusan menjadi pandemik dan dapat beransur menjadi endemik, iaitu keadaan di mana virus ini mungkin terus wujud, namun wabak ini boleh dikawal melalui adaptasi norma baharu, sistem kesihatan awam yang berkesan dan amalan kesihatan serta pematuhan SOP yang ketat.

48. Hakikatnya, satu-satunya kaedah yang paling berkesan untuk negara segera keluar daripada kemelut ini ialah dengan mempertingkatkan kapasiti pemberian vaksin kepada rakyat. Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan terus diperkasa bagi memastikan proses vaksinasi berjalan dengan lancar dan cepat.

49. Sesungguhnya, program vaksinasi adalah kunci utama kejayaan kita melawan Covid-19. Setakat ini, Kerajaan telah menempah 79.9 juta dos vaksin. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 25.2 juta dos telah diterima. Dijangkakan kita akan menerima jumlah keseluruhan 37.3 juta dos pada bulan Ogos. Sebanyak 21.9 juta dos lagi akan diterima pada suku ke empat 2021 dan baki selebihnya akan diterima pada suku pertama 2022.

50. Mengikut perancangan asal, dijangkakan 80 peratus penduduk dewasa di Malaysia akan menerima dos lengkap vaksin menjelang suku pertama 2022. Insha-ALLAH, program PICK akan terus diperhebat supaya sasaran 100 peratus penduduk dewasa menerima dos lengkap vaksin dapat dicapai lebih awal, iaitu pada bulan Oktober tahun ini.

Malah ketika ini, Kerajaan telah mencapai kapasiti kadar suntikan sebanyak lebih 500 ribu dos sehari51. Kerajaan juga sedar, peningkatan kes yang berlaku kini disebabkan sebahagian besarnya oleh penularan di tiga buah negeri di jajaran Lembah Kelang iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan sebahagian Negeri Sembilan. Ia menyumbang lebih 70 peratus daripada keseluruhan kes jangkitan harian.

Melalui penubuhan, dengan izin, Greater Klang Valley Special Task Force, Kerajaan Pusat akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri yang berkenaan untuk memastikan penularan virus ini dapat dikawal dan yang paling utama hospital-hospital mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk berfungsi dengan berkesan.

52. Selain itu, di bawah Operasi Lonjakan Kapasiti atau dengan izin Operation Surge Capacity, dijangkakan 100 peratus penduduk dewasa di negeri Selangor dan Kuala Lumpur yang berjumlah 6.1 juta orang akan menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19 menjelang awal bulan Ogos nanti.

53. Alhamdulillah, setakat ini melalui pelaksanaan PICK, lebih 16 juta dos telah berjaya dibekalkan kepada rakyat Malaysia iaitu merangkumi 11 juta orang telah menerima dos pertama dan lima juta orang telah menerima dua dos lengkap suntikan vaksin. Kadar vaksinasi harian juga telah melebihi 500 ribu dos sehari.

Memperkukuh sistem kesihatan awam

Datuk Yang Dipertua,

54. Fokus utama PPN juga turut melibatkan usaha meningkatkan kemampuan sistem kesihatan awam dalam memerangi Covid-19. Merujuk kepada data global, purata kadar kematian berpunca dari jangkitan Covid-19 adalah sebanyak 2.2 peratus daripada keseluruhan kes manakala kadar bagi Malaysia ialah sebanyak 0.7 peratus.

Berdasarkan laporan Ketua Pengarah Kesihatan, didapati lebih 98 peratus daripada pesakit Covid-19 di negara kita tidak bergejala atau hanya bergejala ringan. Dengan itu, kadar pemulihan di negara kita pada masa ini agak tinggi iaitu sebanyak 87 peratus.

55. Melihat kepada ancaman Covid-19 terhadap kesihatan rakyat, kerjasama seluruh anggota masyarakat dan Kerajaan perlu digembleng bagi mengawal pandemik ini. Langkah-langkah yang diambil mestilah berpandukan kepada tiga paksi utama iaitu:

Pertama: Memutuskan rantaian penularan wabak melalui pemerkasaan ujian saringan, pengesanan kontak dan langkah pengasingan;

Kedua: Mengurangkan kadar morbiditi dan kematian melalui peningkatan kapasiti sistem penjagaan kesihatan termasuk mengoptimakan kapasiti hospital pengajar universiti, kapasiti di bawah Kementerian Pertahanan dan juga melalui penyumberan luar ke hospital swasta; dan

Ketiga: Melindungi kesihatan rakyat secara keseluruhan dengan menyediakan sokongan yang mencukupi bagi keperluan selain Covid-19.

56. Kerajaan juga menyedari impak pandemik kepada aspek kesihatan mental rakyat Malaysia. Oleh itu, langkah-langkah khusus telah diambil bagi menyelesaikan cabaran yang dialami rakyat berkaitan isu kesihatan mental seperti mewujudkan talian sokongan psikososial di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia dan penyaluran dana kepada NGO berkaitan kesihatan mental.

Penutup

Datuk Yang Dipertua,

57. Kerajaan faham bahawa rakyat berada dalam keadaan resah dan bimbang apabila angka kes harian Covid-19 menunjukkan peningkatan. Kerajaan sedang berusaha sedaya mungkin untuk mengatasi kemelut yang kita hadapi ini dengan mempercepatkan program vaksinasi. Malaysia hari ini adalah antara negara yang terpantas memvaksinasi penduduknya.

58. Benar, Kerajaan ini tidak sempurna. Tetapi apa yang benar juga ialah Kerajaan hari ini tidak berpeluk tubuh membiarkan rakyat menderita, malah sentiasa bergerak dan bertindak untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat.

59. Yang penting kita mesti bersolidariti dalam menghadapi zaman yang sukar ini. Tidak usahlah kita berbalah dan menuding jari. Kerana di sana ada rakyat yang jiwanya sengsara, ada bapa yang tenggelam punca, ada anak yang menderita, manakala frontliners kita terus terbeban dan hospital semakin tertekan.

Marilah kita berganding bahu, mencari berkat dan meraih jaya pada setiap usahasama. Bulat air kerana pembentung, bulat kita kerana muafakat. Bersatu kita pasti teguh, bercerai kita roboh.

60. Kepada saudara dan saudari rakyat Malaysia, pastinya sudah banyak perkara telah menjadi kebiasaan baharu. Keluar rumah perlu memakai pelitup muka, cecair sanitasi menjadi peneman setiap masa dan penjagaan kendiri mestilah diamalkan walau di mana sahaja kita berada.

61. Selain itu, saya menyeru seluruh rakyat untuk mendapatkan vaksin dengan segera. Tidak kiralah apa jenamanya, ia masih vaksin yang berkesan untuk mencegah wabak yang berbahaya. Seganas mana pun wabak ini menakutkan manusia, insha-ALLAH vaksinasi adalah cara terbaik untuk melindungi nyawa.

62. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mendoakan kejayaan dan keselamatan kontinjen negara yang sedang berjuang di temasya Sukan Olimpik Tokyo. Semoga misi 64 barisan atlet, jurulatih dan petugas yang dipimpin oleh Datuk Lee Chong Wei selaku ketua kontinjen, dapat melakar sejarah kejayaan cemerlang buat negara kita dalam temasya sukan Olimpik kali ini.

Datuk Yang Dipertua,

63. Demikianlah ucapan dan penerangan saya mengenai Pelan Pemulihan Negara yang bertemakan #menangbersama. Saya berdoa ke hadrat Allah s.w.t. agar mudah-mudahan kita semua terus dilindungi daripada wabak Covid-19 dan diberikan kesihatan yang sempurna.

64. Buat rakan-rakan kita Ahli-Ahli Parlimen, pegawai-pegawai pengiring dan kakitangan Parlimen yang didapati positif Covid-19, saya doakan mereka semua diberikan kesembuhan segera. Begitu juga kepada rakyat Malaysia yang dijangkiti virus ini, saya doakan anda semua mendapat rawatan yang terbaik dan segera sembuh, amin ya rabbal alamin.

65. Terima kasih Datuk Yang Dipertua. Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamuálaikum warahmatullahi wa barakatuh.