Hala tuju tak jelas: Hasni

Hasni (empat, kiri) menerima cenderamata selepas menyempurnakan majlis perasmian berkelompok Persidangan Cawangan UMNO Bahagian Labis di Kampung Usaha Jaya.
Hasni (empat, kiri) menerima cenderamata selepas menyempurnakan majlis perasmian berkelompok Persidangan Cawangan UMNO Bahagian Labis di Kampung Usaha Jaya.
A
A
A

LABIS - Kerajaan negeri PH dilihat tidak mempunyai pelan pembangunan jelas apabila gagal membentangkan 'blue print' hasil cetusan idea sendiri.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ir Hasni Mohamad berkata, situasi itu pastinya menimbulkan tanda tanya serta keresahan dalam kalangan rakyat berhubung nasib dan masa depan mereka.

“Kerajaan negeri perlu bentang secara jelas 'blue print' pembangunan negeri kepada rakyat, bukan sekadar menciplak apa yang telah dirancang kerajaan terdahulu.

“Mereka bukan sahaja gagal menampilkan idea bernas yang mampu menarik kemasukan pelabur baharu ke negeri ini, malah membatalkan pelbagai projek pembangunan yang telah dirancang seperti pembinaan keretapi laju oleh kerajaan terdahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian berkelompok Persidangan Cawangan UMNO Bahagian Labis di Kampung Usaha Jaya di sini, baru-baru ini.

Menurut Hasni, kerajaan negeri harus mempunyai pelan pembangunan jangka panjang yang mampan untuk negeri ini, bukan sekadar melaksanakan urusan seharian seperti menampal jalan berlubang dan membekal anak benih serta baja kepada petani.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan UMNO tidak akan melutut kepada mana-mana pihak dan akan terus berjuang walau dalam apa juga situasi.

"Kita tidak mahu urusan serta gerak kerja parti terjejas hanya kerana beberapa pimpinan parti didakwa melakukan salah laku mahu pun tekanan yang diberikan oleh pihak tertentu.

Artikel Berkaitan:

“Ahli harus menerima hakikat bahawa situasi sudah berubah, namun perjuangan dan penyatuan ahli mampu menjadi titik-tolak kepada kebangkitan UMNO pada PRU akan datang,” katanya.