X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia antara negara terpantas vaksinasi penduduk: PM

Malaysia antara negara yang terpantas menvaksinasi penduduknya dengan kapasiti kadar suntikan mencapai lebih 500,000 dos sehari. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan memastikan proses vaksinasi Covid-19 dijalankan dengan teratur, cepat dan meliputi seluruh pelosok negara melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut beliau, satu-satunya kaedah yang paling berkesan untuk negara segera keluar daripada kemelut pandemik Covid-19 adalah dengan mempertingkatkan kapasiti pemberian vaksin kepada rakyat.

Muhyiddin berkata, Malaysia merupakan antara negara yang terpantas menvaksinasi penduduknya dengan kapasiti kadar suntikan mencapai lebih 500,000 dos sehari ketika ini.

“Kerajaan faham bahawa rakyat berada dalam keadaan resah dan bimbang apabila angka kes harian Covid-19 menunjukkan peningkatan.

“Kerajaan sedang berusaha sedaya mungkin untuk mengatasi kemelut yang kita hadapi ini dengan mempercepatkan program vaksinasi,” katanya pada sesi penerangan berkenaan PPN pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Perdana Menteri berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan terus diperhebat supaya sasaran 100 peratus penduduk dewasa menerima dos lengkap vaksin dicapai lebih awal pada Oktober ini, berbanding perancangan asal iaitu 80 peratus penduduk dewasa menerima dos lengkap vaksin menjelang suku pertama 2022.

Beliau berkata, setakat ini, kerajaan telah menempah 79.9 juta dos vaksin dan daripada jumlah itu, 25.2 juta dos telah diterima.

Muhyiddin berkata, Malaysia dijangka menerima jumlah keseluruhan 37.3 juta dos pada Ogos, manakala 21.9 juta dos lagi akan diterima pada suku keempat 2021 dan baki selebihnya diterima pada suku pertama 2022.

“Alhamdulillah, setakat ini melalui pelaksanaan PICK, lebih 16 juta dos telah berjaya dibekalkan kepada rakyat Malaysia iaitu merangkumi 11 juta orang telah menerima dos pertama dan lima juta orang menerima dua dos lengkap suntikan vaksin,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerjasama seluruh anggota masyarakat dan kerajaan perlu digembleng bagi mengawal wabak ini dengan berpandukan tiga paksi utama termasuk memutuskan rantaian penularan Covid-19 melalui pemerkasaan ujian saringan, pengesanan kontak dan langkah pengasingan.

Kedua, mengurangkan kadar morbiditi dan kematian melalui peningkatan kapasiti sistem penjagaan kesihatan termasuk mengoptimumkan kapasiti hospital pengajar universiti, kapasiti di bawah Kementerian Pertahanan dan juga melalui penyumberan luar ke hospital swasta.

“Ketiga, melindungi kesihatan rakyat secara keseluruhan dengan menyediakan sokongan yang mencukupi bagi keperluan selain Covid-19,” katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga menyedari impak pandemik kepada aspek kesihatan mental rakyat Malaysia dengan langkah-langkah khusus telah diambil bagi menyelesaikan cabaran yang dialami rakyat seperti mewujudkan talian sokongan psikososial di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan penyaluran dana kepada badan bukan kerajaan berkaitan kesihatan mental.

“Benar, kerajaan ini tidak sempurna. Tetapi apa yang benar juga ialah kerajaan hari ini tidak berpeluk tubuh membiarkan rakyat menderita, malah sentiasa bergerak dan bertindak untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak mestilah bersolidariti dalam menghadapi zaman sukar ini dan tidak berbalah dan menuding jari.

“Kerana di sana ada rakyat yang jiwanya sengsara, ada bapa yang tenggelam punca, ada anak yang menderita, manakala frontliners kita terus terbeban dan hospital semakin tertekan.

"Marilah kita berganding bahu, mencari berkat dan meraih jaya pada setiap usaha sama. Bulat air kerana pembetung, bulat kita kerana muafakat. Bersatu kita pasti teguh, bercerai kita roboh,” katanya.

Muhyiddin juga menyeru seluruh rakyat supaya mendapatkan vaksin dengan segera tanpa mengira jenamanya kerana vaksin tersebut berkesan untuk mencegah wabak berbahaya berkenaan. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!