Bekas Timbalan YDP majlis daerah ditahan SPRM

Suspek (kiri) telah ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Ahad.
Suspek (kiri) telah ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Ahad.
A
A
A

PUTRAJAYA - Setiausaha bahagian sebuah agensi kerajaan negeri Selangor ditahan bagi membantu siasatan kes membolot projek bernilai jutaan ringgit di negeri itu pada Isnin.

Menurut sumber, suspek dipercayai melakukan kesalahan tersebut ketika menjawat jawatan Timbalan Yang Dipertua majlis perbandaran di sebuah daerah sejak 2015 hingga tahun lalu.

"Suspek telah ditahan malam semalam (Ahad) ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

"Suspek berumur 42 tahun itu telah direman selama lima hari bermula hari ini selepas Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan reman oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya," katanya.

Katanya, suspek dipercayai telah menerima pelbagai jenis suapan daripada kontraktor seperti pembiayaan kos pengubahsuaian rumah bernilai kira-kira RM18,000, wang tunai anggaran RM38,000 serta deposit kereta mewah sebanyak RM75,000.

"Selain itu, suspek dikatakan turut menerima bayaran bulanan kira-kira RM3,000 sebulan sejak 2018 hingga kini serta bayaran pembelian televisyen dan jam mewah.

"Ia diberikan sebagai balasan untuk membantu syarikat-syarikat milik kontraktor mendapatkan kerja-kerja pembersihan kawasan, penyelenggaraan, lain-lain kerja secara sebut harga dan tender di sekitar Selangor," katanya.

Jelasnya, difahamkan akan ada lagi tangkapan melibatkan beberapa individu berhubung siasatan kes ini.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, dua individu iaitu pegawai daerah dan juru ukur bahan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kartel projek di empat daerah di Selangor.

Selain itu, tiga individu termasuk dua bekas Yang Dipertua (YDP) majlis perbandaran turut ditahan berkaitan kes tersebut.