Agenda prihatin rakyat tumpuan kerajaan

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini. Foto Bernama.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini. Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Agenda prihatin rakyat merupakan antara tumpuan utama kerajaan menerusi pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan bertujuan membantu kumpulan berpendapatan B40 dan M40 melalui beberapa langkah bantuan tunai secara langsung.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan telah melaksanakan lapan pakej rangsangan ekonomi yang nilai keseluruhannya berjumlah RM530 bilion dengan pelbagai bantuan tunai diberi kepada rakyat.

Menurutnya, di bawah pakej terbaharu iaitu Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) misalnya, kerajaan meneruskan pemberian Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan memperkenalkan Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP).

"Kerajaan sedar bahawa dalam keadaan yang sukar ini, rakyat bergantung kepada keprihatinan kerajaan untuk membantu mereka keluar daripada permasalahan yang dihadapi.

"Seperti yang semua sedia maklum, setiap bulan mulai Julai hingga Disember nanti akan dipastikan rakyat dalam kategori B40 dibantu dan kerajaan bercadang menyalurkan bantuan bernilai sebanyak RM10 bilion," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi penerangan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam Sidang Khas Dewan Rakyat pada Isnin.

Selain itu, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, peruntukan bagi program bakul makanan yang kini masih rancak dijalankan turut dipanjangkan kepada semua ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Negara tanpa mengira perbezaan parti politik.

"Saya menerima laporan, ada beberapa kawasan Parlimen telah berjaya mengagihkan bantuan kepada kumpulan sasar dalam tempoh tidak sampai seminggu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan, semua pengumuman pakej rangsangan itu sebahagiannya telah dan akan dibiayai menggunakan Kumpulan Wang Covid-19 (atau KWC-19).

Ujar beliau, penubuhan KWC-19 adalah berlandaskan perundangan di bawah Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 [Akta 830] yang diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat.

"Penjelasan lanjut berhubung kesemua pakej bantuan dan perbelanjaan di bawah KWC-19 ini akan diperincikan oleh Senator Datuk Seri Menteri Kewangan semasa sesi penerangan Pakej-pakej Bantuan Ekonomi pada 29 Julai nanti.

"Apa yang penting adalah, pelaksanaan kesemua pakej ini telah memanfaatkan lebih 20 juta rakyat serta 2.4 juta premis dan entiti perniagaan setakat ini," katanya.

Katanya, lebih RM200 bilion telah dimanfaatkan dalam tempoh berkenaan.