Penjawat awam rugi RM10,000 ditipu Macau Scam

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN- Seorang penjawat awam kerugian RM10,000 dalam sekelip mata apabila diperdaya sindiket Macau Scam.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 42 tahun mengetahui simpanannya telah dipindahkan ke akaun lain setelah membuat semakan.

Menurutnya, berdasarkan laporan, kejadian bermula pada 13 Julai lalu apabila mangsa menerima panggilan telefon yang mendakwa pegawai dari sebuah bank.

"Suspek memaklumkan bahawa kredit milik mangsa telah digunakan untuk pembelian di Shopee tetapi mangsa menafikan perkara itu.

"Panggilan itu kemudian telah disambungkan kepada seorang pegawai kononnya dari Bank Negara Malaysia dan meminta butiran peribadi milik mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mohd Wazir memaklumkan, mangsa kemudian memberikan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) perbankan kepada suspek.

Jelasnya, selepas memberikan nombor TAC itu, mangsa mendapati wang sebanyak RM10,000 telah lesap.

"Mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Bentong selepas merasakan dirinya ditipu.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.