Banyak negeri dijangka beralih Fasa 4 PPN awal Oktober: PM

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini. Foto Bernama
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan menjangkakan kebanyakan negeri akan dapat beralih ke Fasa Empat, iaitu fasa terakhir Pelan Pemulihan Negara (PPN) seawal Oktober ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jangkaan itu berdasarkan usaha berterusan yang dilakukan kerajaan dalam menggerakkan proses pemulihan dan program imunisasi yang sedang berjalan lancar.

"Saya juga ingin jelaskan, kerajaan sudah memutuskan di Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara, bagi negeri yang sudah berada di fasa kedua, ia tidak akan kembali ke fasa pertama. Begitu juga dengan negeri yang beralih ke fasa ketiga tidak akan patah balik ke fasa kedua.

"Ini kerana, pendekatan PPN menekankan 'exit strategy and no turning back'," katanya semasa sesi penerangan mengenai PPN pada Sidang Khas Dewan Rakyat pada Isnin.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, sekiranya berlaku peningkatan kes semula di negeri tersebut, kerajaan akan mengetatkan kawalan pergerakan berdasarkan lokaliti tanpa perlu membuat perintah kawalan menyeluruh ke atas negeri atau wilayah sepertimana yang dilaksanakan kini.

Beliau menegaskan, PPN adalah pelan pemulihan yang menumpukan strategi keluar daripada ancaman Covid-19 secara selamat dan sistematik.

"Fasa-fasa yang digariskan adalah tertumpu kepada usaha untuk meringankan beban ke atas kapasiti sistem kesihatan awam, membuka semula sektor ekonomi dan membenarkan aktiviti sosial dalam tempoh masa enam bulan sehingga akhir tahun ini.

"PPN tidak statik tetapi dinamik, komprehensif dan boleh ditambah baik mengikut keperluan dan situasi semasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Memperincikan lanjut, beliau berkata, PPN merupakan pelan hala tuju berfasa untuk menyokong peralihan keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak hanya bergantung kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh.

"Sebaliknya kerajaan akan melaksanakan strategi yang lebih holistik merangkumi program imunisasi serta pelaksanaan saring, jejak dan asing dengan skala besar serta kadar yang lebih pantas.

"Sebagai hala tuju ke arah membuka semula sektor ekonomi, PPN menggariskan empat fasa peralihan merangkumi perincian SOP (prosedur operasi standard) untuk setiap fasa.

"Peralihan fasa bagi sesebuah negeri akan dinilai dan dipertimbangkan berdasarkan tiga indikator nilai ambang yang telah dijelaskan tadi, iaitu purata bilangan kes harian, kadar penggunaan katil di wad ICU dan peratusan rakyat dewasa yang lengkap divaksinasi," katanya.

Muhyiddin menambah, dari masa ke semasa, kerajaan akan terus memantau keadaan di setiap negeri dengan rapi termasuk mengambil langkah intervensi mengikut keperluan.

Di samping itu, katanya, kerajaan akan tetap melaksanakan penilaian risiko termasuk menilai kesediaan mana-mana negeri untuk beralih ke fasa kedua, ketiga atau keempat.