Hanya doa, air mata iringi jenazah pesakit Covid-19

Perasaan sebak dan pilu keluarga seorang lelaki yang meninggal dunia akibat Covid-19 apabila hanya mampu melihat van jenazah berhenti seketika di hadapan rumah mereka di Sungai Besar sebagai penghormatan terakhir. - Foto ihsan Facebook SPJM
Perasaan sebak dan pilu keluarga seorang lelaki yang meninggal dunia akibat Covid-19 apabila hanya mampu melihat van jenazah berhenti seketika di hadapan rumah mereka di Sungai Besar sebagai penghormatan terakhir. - Foto ihsan Facebook SPJM
A
A
A

SUNGAI BESAR - Keluarga seorang lelaki yang meninggal dunia akibat Covid-19 sebak dan pilu apabila hanya mampu melihat van jenazah berhenti seketika di hadapan rumah mereka di Sungai Besar di sini sebagai penghormatan terakhir.

Perkongsian di Facebook Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) memaklumkan, Skuad Tindakan Khas SPJM mengurus dan membawa pulang jenazah pesakit Covid-19 terbabit dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) ke sebuah Tanah Perkuburan Islam di Sungai Besar pada petang Ahad.

Menurut SPJM, atas permintaan waris, pihaknya sempat berhenti seketika di hadapan rumah keluarga yang menyebabkan suasana bertambah pilu.

"Apabila kami tiba di hadapan rumah, terlihat ibu arwah yang berada di atas kerusi roda dan ahli keluarga yang lain sudah mula menitiskan air mata.

"Ketika salah seorang skuad membacakan doa untuk arwah, maka menitis air mata ibu dan ahli keluarga yang lain," katanya menerusi status dimuat naik di Facebook SPJM pada malam Ahad.

Menurut SPJM, seorang kakak Allahyarham yang tidak dapat menahan emosi, cuba mendekati van jenazah, namun dikawal oleh ahli keluarga yang lain.

"Kami sempat berbual dengan sahabat arwah yang memberitahu, arwah sudah lama tidak pulang ke kampung kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), tiba-tiba pulang dalam keadaan tak bernyawa.

"Di sinilah kerinduan antara ahli keluarga yang dipisahkan akibat pandemik Covid-19 ini. Sentiasalah jaga diri dan keluarga anda dari dijangkiti," katanya.

Artikel Berkaitan:

SPJM memaklumkan, proses pengurusan jenazah dilakukan tiga anggota daripada Skuad Tindakan Khas SPJM bermula dari jam 5.30 petang hingga jam 7.50 malam Ahad.