PADU sambut baik tawar kontrak dua tahun kepada petugas kesihatan

Reaksi petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa menunggu para pekerja dan peniaga bagi menjalani saringan Ujian Kit Pantas Antigen (RTK-Ag).- Foto Bernama
Reaksi petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semasa menunggu para pekerja dan peniaga bagi menjalani saringan Ujian Kit Pantas Antigen (RTK-Ag).- Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Persatuan Alumni Doktor Universiti Sains Malaysia (USM) (PADU) menyambut baik keputusan kabinet yang bersetuju agar pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan kontrak perkhidmatan untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib.

Presiden PADU, Profesor Datuk Dr Jafri Malin Abdullah dalam satu kenyataan menganggap keputusan itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap nasib doktor perubatan selaku barisan hadapan yang terpaksa bertempur sepanjang pandemik Covid-19.

"PADU ingin berterima kasih terhadap kerajaan serta semua pihak yang terlibat. Sekurang-kurangnya langkah ini merupakan inisiatif dan kesungguhan kerajaan dalam menambah baik sistem kontrak yang semakin kronik ini.

"Umum mengetahui permasalahan pegawai perubatan kontrak telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam masyarakat terutama kepada pihak yang terkesan, sekali gus menyebabkan kekecewaan dan demotivasi yang hebat berlaku dalam kalangan mereka sedangkan majoriti mereka ini terlibat di barisan hadapan bagi menghadapi pandemik Covid-19 di pelbagai posisi," katanya.

Dr Jafri Malin berkata, pegawai perubatan kontrak ini diwujudkan sejak Disember 2016 dengan matlamat yang baik bertujuan untuk mengatasi kekangan perjawatan tetap sekali gus membolehkan pengambilan pegawai perubatan dapat dibuat tanpa bergantung kepada kekosongan tetap yang terhad.

"Kami sedar, masalah lambakan pegawai perubatan merupakan satu masalah kronik yang diwarisi hasil kesilapan strategi perancangan pentadbiran terdahulu.

"Maka proses pemulihan memerlukan perancangan rapi dan pelan strategi jangka panjang yang jelas," katanya.

Menurutnya, PADU meletakkan harapan tinggi kepada pihak kerajaan agar benar-benar serius dalam merangka hala tuju jangka panjang bagi perkhidmatan perubatan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan perlu berusaha menambah bilangan Perjawatan Tetap Pegawai Perubatan UD43/44 mengikut bilangan realistik seiring dengan keperluan negara.

Menurutnya, kejayaan kerajaan dalam menangani permasalahan tersebut adalah refleksi terhadap kesungguhan dalam pemulihan sistem kesihatan yang semakin tenat dengan situasi pandemik sekarang ini di samping mengekalkan keharmonian profesion (fraterniti) perubatan. - Bernama