[VIDEO] Darurat ditamatkan 1 Ogos

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga, Majlis Parlimen Keempat Belas di Parlimen hari ini. Turut sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) dan Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Foto Bernama
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga, Majlis Parlimen Keempat Belas di Parlimen hari ini. Turut sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) dan Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan memutuskan tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat baharu apabila ia tamat pada 1 Ogos ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Jelasnya, enam ordinan darurat yang telah dibuat sebelum ini berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan juga telah dibatalkan berkuat kuasa 21 Julai lalu.

"Saya ingin mengesahkan pada hari ini di dewan ini bahawa kerajaan Persekutuan memutuskan tidak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat baharu apabila tamat 1 Ogos 2021.

"Enam ordinan darurat yang dibuat (sebelum ini) telah diputuskan untuk direvoke (dibatalkan) berkuat kuasa 21 Julai 2021, bukan hari ini," katanya.

Pada 12 Januari lalu, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas darurat pada hari sama menjelaskan bahawa Jemaah Menteri telah menasihati Seri Paduka Baginda mengeluarkan proklamasi darurat bagi seluruh negara menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021.

Perkara 150(1) itu antara lainnya memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkan darurat jika Seri Paduka Baginda berpuas hati suatu darurat besar sedang berlaku menyebabkan keselamatan atau kehidupan ekonomi atau ketenteraman awam dalam Persekutuan sedang terancam.

Artikel Berkaitan: