X

Kindly register in order to view this article
!

Kurang cergas punca Sri Pahang seri dengan Melaka FC

Pemain Melaka United FC Gary Steven Robbat (tengah) dihalang pemain Sri Pahang FC Mohd Muslim Ahmad pada perlawanan Liga Super 2021 di Stadium Darul Makmur malam tadi.- Foto Bernama
A
A

KECERGASAN skuad Sri Pahang tidak berada pada tahap sebenar dan ia jelas terlihat pada aksi menentang Melaka United yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Darul Makmur di sini malam Ahad.

Ketua Jurulatihnya, Dollah Salleh juga mengakui bahawa Sri Pahang memiliki beberapa peluang untuk mencipta kemenangan tetapi gagal memanfaatkannya dengan baik.

Beliau yang agak terkilan dengan keputusan itu berkata skuad Tok Gajah amat memerlukan tiga mata berharga dalam usaha membaiki kedudukan dalam Liga Super.

"Apa yang saya jangkakan berlaku iaitu kita masih kurang cergas kerana tidak dapat mengadakan sebarang perlawanan persahabatan sepanjang tempoh berehat baru-baru ini," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Pada perlawanan itu, penyerang import dari Argentina Manuel Federico Hidalgo menjaringkan gol tunggal Tok Gajah pada minit pertama manakala gol Melaka United dihasilkan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ke-87.

Namun, jurulatih berusia 57 tahun itu bersyukur kerana tonggak serangan Tok Gajah Abdul Malik Mat Arif mampu menyinar dengan banyak melakukan gerakan solo bagi memporak-perandakan barisan pertahanan lawan.

Katanya, gandingan hadapan antara Malik dan Manuel Federico Hidalgo dlihat serasi dalam mampu menghasilkan serangan yang berbisa.

Sementara itu, pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan berkata, keputusan seri itu agak melegakan kerana menyedari Sri Pahang merupakan sebuah pasukan gergasi dengan memiliki pemain yang hebat.

Zainal Abidin berkata, skuad Melaka cuai seawal minit pertama dan mungkin tidak dibolosi jika tidak alpa.

"Kita tidak boleh selesa dengan keputusan ini kerana sasaran kita ialah untuk keluar daripada zon merah dalam carta liga," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!