Polis didakwa terima suapan RM250 lepas kes khalwat

Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas dua pertuduhan rasuah membabitkan wang tunai RM250 pada tahun 2019 dan 2020.
Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh atas dua pertuduhan rasuah membabitkan wang tunai RM250 pada tahun 2019 dan 2020.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Isnin atas dua pertuduhan rasuah membabitkan wang tunai RM250 pada 2019 dan 2020.

Tertuduh, Lans Koperal Abdul Hadi Abu Bakar, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Mengikut pertuduhan, anggota yang bertugas di Unit Kereta Peronda Polis (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh itu secara rasuah memperoleh suatu suapan iaitu wang tunai RM50 dan RM200 daripada seorang lelaki berusia 25 tahun pada tarikh, masa dan tempat berbeza.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 Disember 2019 jam lebih kurang 2 pagi di tempat letak kereta Taman DR Seenivasagam dan pada 5 Januari 2020 sekitar jam 12.30 tengah hari di belakang bangunan sebuah restoran di Taman Fair Park dalam daerah Kinta.

Kedua-dua suapan itu diterima sebagai dorongan untuk tertuduh tidak melakukan suatu perbuatan dengan membawa lelaki terbabit bersama pasangannya ke balai polis atas kesalahan khalwat yang dilakukan mereka pada 30 Disember 2019.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Maziyah Mansor manakala tertuduh diwakili Peguam Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan: