Krisis pembiayaan politik

Gambar hiasan fail Bernama
Gambar hiasan fail Bernama
A
A
A

BAHAGIAN 1

MEMINJAM ungkapan Inggeris, kes mahkamah ini akan membuka a can of worms. Ini bermaksud akan mendedahkan segala keburukan dan apa yang terselindung selama ini.

Sekali ini yang didakwa bukan sekadar seorang mantan menteri kabinet tetapi sistem, tatacara dan disiplin kewangan dalam politik kepartian negara ini.

Apa yang tertera ialah soal pembiayaan politik atau political financing. Selama ini ia hanya sekadar khabar angin, teori konspirasi dan andaian.

Atau mungkin juga dalam pendedahan dalam beberapa kes mahkamah membabitkan beberapa orang tokoh politik. Tetapi kali ini semuanya akan terbongkar.

Wacana tentang hubungan parti politik dan pembiayaan politik telah banyak diperkatakan oleh sarjana seperti Profesor Edmund Terence Gomez.

Beliau antara lain telah menghasilkan buku seperti Malaysia’s Political Economy: Politics, Patronage and Profits; Political Business: Corporate Involvement Of Malaysian Political Parties dan Minister of Finance Incorporated: Ownership and Control of Corporate Malaysia.

Beliau malah mempopularkan konsep ekonomi politik atau political economy bagi menunjukkan hubungan yang intim di antara kuasa politik dan bisnes.

Artikel Berkaitan:

Tulisan beliau sayangnya hanya berlegar dalam kalangan kelompok ilmuwan dan digunakan oleh penentang kerajaan masa itu bagi membuktikan betapa sistem politik kita dicorakkan oleh patronage dan kronisme. Pendedahan

Perbincangan mengenai politik wang juga agak dominan sewaktu UMNO berkubu kuat dalam masyarakat. Presiden UMNO pada tahun 1993, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (sekarang Tun) menggerakkan satu perhimpunan khas untuk membincangkan isu politik wang ekoran kemenangan Team Wawasan pada tahun 1993. Selama beberapa waktu perbahasan tentang politik wang menjadi isu besar dalam UMNO. Ini bukan bermakna politik wang dapat dihapuskan tetapi sekurang-kurangnya UMNO mengakui fenomena itu berlaku dan tidak boleh dinafikan.

Kali ini nampaknya Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sudah bersedia untuk membuat pendedahan terbuka tentang pembiayaan politik.

Hal itu ditegaskannya sebaik sahaja keluar dari mahkamah beberapa hari lalu.

Apakah demon yang mahu disembunyikan selama ini – wang dan politik – akan terdedah kali ini? Apakah ini peluang yang terbaik untuk membuka semula perbahasan tentang perlunya reformasi sebenar dalam sistem politik kita?

Cuma kali ini harapan kita ialah untuk reset budaya politik itu sendiri. Ini bermakna untuk mendedahkan amalan tidak betul bagi memulakan langkah baharu yang betul.

Dalam situasi pandemik Covid-19 yang sangat mencabar, sudah tentulah kerajaan akan dinilai dengan lebih kritikal. Ini termasuklah aspek governans dan transparensi. Dalam hal ini termasuk juga integriti pemain politik.

Datuk Hussamuddin Yaacub melalui platform Sinar Harian telah menggerakkan Rasuah Busters untuk tujuan reset nilai dan budaya ini.

Sasaran utama bukan sahaja untuk memastikan amalan yang terbaik tetapi serangan berterusan ke atas rasuah dan salah guna kuasa serta mereka yang terbabit.Lindungi

Saya yakin dalam kes mahkamah Syed Saddiq ini yang turut diadili adalah seluruh aspek pembiayaan politik yang selama ini begitu dipertahan dan cuba dilindungi oleh sistem dan pemain politik sedia ada.

Lebih penting lagi ia akan mengetengahkan modus operandi politik wang dalam sistem kepartian itu sendiri.

Syed Saddiq dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta dan menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau memberitahu wartawan apa yang berlaku adalah konspirasi politik dan usaha untuk melemahkan semangatnya. Katanya beliau telah ‘diugut’ sejak sekian lama.

Beliau akan menggunakan kesempatan membela diri untuk mendedahkan isu politik wang.

Syed Saddiq juga nampaknya sudah mempersiapkan ‘pertahanannya’ bukan sahaja di mahkamah tetapi di mahkamah umum membabitkan pandangan rakyat (court of public opinion).

Beliau menggunakan media sosial untuk memberi penjelasan apa yang sebenarnya berlaku.

Dalam salah satu video yang tular ialah pendedahan beliau tentang gaji bulanan serta pelbagai elaun dan ganjaran sebagai seorang menteri.

Pendedahan itu sendiri sudah cukup memeranjatkan banyak orang. Selama ini rakyat hanya mampu membuat spekulasi berapa pendapatan bulanan seorang menteri kabinet.

Menurut Syed Saddiq, gaji bulanannya ialah RM55,000 tidak termasuk elaun-elaun lain. Dana percutian seorang menteri lebih kurang RM80,000 setahun.

Beliau juga mendedahkan elaun pinggan mangkuk sebanyak RM50,000 untuk seorang menteri. Seorang menteri juga berhak mendapat subsidi sebidang tanah di Putrajaya.

Beliau juga berhak mendapat dua AP untuk import kereta mewah. Apabila diberhentikan selepas 22 bulan beliau mendapat ganjaran sebanyak RM180,000. Sistem

Pendedahan itu sendiri membuktikan bagaimana sistem politik kita memberikan habuan yang ‘sewajarnya’ pada seseorang menteri.

Syed Saddiq mendakwa, beliau tidak mengambil kesempatan daripada kedudukannya.

Tetapi lebih penting ialah pendedahan yang beliau janjikan bagaimana sistem politik kita didefinisikan oleh wang.

Sudah tentulah rakyat ingin tahu bagaimana mekanisme yang memungkinkan melimpahnya wang dalam sistem politik negara ini.

* Tan Sri Johan Jaaffar ialah salah seorang anggota Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik yang ditubuhkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada bulan Ogos 2015. Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).