Mogok doktor kontrak tidak kena masa

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEMUA sedia maklum bahawa sistem kesihatan negara pada ketika ini berada pada tahap tenat.

Buktinya jelas lagi terang apabila jumlah positif Covid-19 mencecah 17,045 kes, kadar kematian yang membimbangkan dan peratusan ditempatkan di ICU makin bertambah.

Maka, Gerakan Hartal Doktor Kontrak untuk mengadakan protes pada Isnin di semua pusat kesihatan seluruh negara amat tidak sesuai ketika negara berdepan gelombang yang serius ini.

Khabarnya hampir 5,000 doktor kontrak akan melakukan mogok kerana tidak ditawarkan jawatan secara tetap

Walaupun mereka memberi jaminan mogok itu tidak akan memberi kesan kepada pesakit, ia sebenarnya memberi implikasi tidak baik kepada sistem kesihatan negara teutama ketika negara berhadapan darurat kesihatan.

Sewajarnya doktor kontrak yang terlibat menangguh seketika hasrat itu dan tumpukan kepada perjuangan untuk membebaskan negara daripada pandemik ini.

Adalah lebih baik mereka menerima tawaran yang dikemukakan kerajaan seperti yang dinyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Minggu lalu, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh kontrak semua pegawai perubatan terbabit dengan menawarkan pelantikan − secara kontrak selama tempoh dua tahun selepas melengkapkan khidmat wajib.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas pegawai perubatan dan pegawai pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.

Apabila keadaan kembali pulih, bawa semula isu itu ke meja rundingan dan bincanglah dengan sebaiknya supaya semua tuntutan dapat dipenuhi.

Kerajaan dan doktor kontrak perlu mencari solusi menang-menang dalam menyelesaikan isu yang telah berlanjutan sejak lama ini.

Ketika ini semua pihak terkesan dan sekiranya masih mempunyai pekerjaan, ia adalah satu rahmat walaupun berstatus kontrak.

Tambahan pula, dalam sektor kerajaan banyak lagi pekerja kontrak dalam sektor sokongan yang memainkan peranan besar dalam memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan.