Pertanian makanan ringankan beban golongan terjejas Covid-19

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PANDEMIK Covid-19 telah berlanjutan selama 18 bulan dan tiada sesiapa yang dapat meramalkan bila ia akan berakhir. Ramai yang telah diberhentikan kerja atau dikurangkan masa kerja mengakibatkan kehilangan atau kekurangan pendapatan menyebabkan kesempitan hidup bagi ribuan rakyat.

Oleh kerana terdesak, ramai telah hilang perasaan segan untuk meminta pertolongan daripada mana-mana sumber yang ada. Pergerakan bendera putih adalah ekspresi keadaan mereka ini.

Masyarakat yang bermurah hati telah menghulurkan bantuan tetapi ini bukanlah satu cara penyelesaian untuk jangka panjang. Mereka yang dibantu belum tentu dapat kembali bekerja seperti sediakala.

Negara kita telah banyak terjejas dan topografi ekonomi pasca-Covid-19 tentunya akan berubah. Ia pasti tidak akan kembali kepada seperti sediakala. Kita bukan hanya perlu memberi bantuan segera kepada mereka yang mengalami kesempitan hidup, malah harus juga menawarkan alternatif jangka panjang terutama sekali untuk mereka yang tidak akan dapat kembali ke pekerjaan zaman pra-Covid-19. Kita memerlukan sesuatu kaedah yang boleh memindahkan seramai yang mungkin daripada keadaan yang mengharapkan belas ihsan kepada keadaan di mana mereka boleh hidup berdikari.

Mengutamakan agromakanan

Pada tahun 2019, sektor pertanian hanya menyumbang sekitar 7.28 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding kepada sektor perindustrian yang menyumbang sekitar 37.42 peratus dan sektor perkhidmatan sekitar 54.17 peratus. Sumbangan sektor pertanian telah menunjukkan penurunan dari setahun ke setahun.

Hanya sekitar seperempat (26.6 peratus) dari 329,847 kilometer persegi, yang merupakan keluasan tanah negara ini, digunakan untuk pertanian. Sebahagian besarnya digunakan untuk penanaman kelapa sawit (75 peratus) dan getah (15 peratus). Hanya lebih kurang 5,900 kilometer persegi (8 peratus) digunakan untuk penanaman sayur-sayuran, buah-buahan dan penternakan.

Tidak menghairankan Malaysia mempunyai defisit imbangan perdagangan sektor makanan yang semakin ketara.

Artikel Berkaitan:

Ramai yang percaya bahawa penambahan tanah untuk pertanian hanya boleh didapati melalui penebangan hutan. Ini adalah tidak benar kerana ada tiga sumber yang boleh diterokai iaitu tanah pertanian yang terbiar, tanah kosong di kawasan bandar dan tanah di bawah laluan pencawang elektrik.

Masih banyak lagi tanah yang terbiar yang boleh dimobilisasikan oleh kerajaan untuk kegunaan mereka yang ingin bertani.

Istilah tanah kosong tidak mempunyai definisi tepat kerana ia merangkumi banyak jenis petak tanah yang tidak digunakan atau kurang digunakan seperti tanah keliling yang tidak diusahakan, tanah terbiar, tanah dengan bangunan dan struktur terbengkalai serta tanah yang pernah dibangunkan tetapi telah ditinggalkan dan diabaikan.

Masalah definisi yang tepat dan kesukaran mengetahui status penggunaan sebenar tanah-tanah tersebut menyukarkan pegawai kerajaan untuk menetapkan jumlah keluasan tanah kosong dengan tepat. Perancang bandar biasanya menganggarkan sekurang-kurangnya 10 peratus dari keseluruhan kawasan tanah ibu kota dan 10-15 peratus di pusat bandar lain adalah tanah kosong. Dengan menggunakan peratusan ini, Kuala Lumpur dianggarkan mempunyai hampir 26 kilometer persegi tanah kosong, dan pusat bandar lain secara kumulatif memiliki tanah kosong yang lebih luas.

Sebilangan besar tanah kosong adalah milik kerajaan. Oleh itu, kegunaan tanah-tanah ini untuk kegunaan penanaman atau penternakan mungkin dapat dibenarkan melalui Lesen Pendudukan Sementara (TOL) atau secara pajakan.Koridor penghantaran elektrik

Pembekalan elektrik memerlukan pembinaan talian pembekalan elektrik. Koridor penghantaran elektrik iaitu tanah yang terletak di bawah dan bersebelahan dengan talian bekalan elektrik voltan tinggi mempunyai kelebaran yang berbeza. Ia bergantung pada voltan talian pembekalan dan kegunaan asal tanah itu. Di kawasan hutan, kelebaran mestilah di antara 30m hingga 35m. Untuk kawasan lain, kelebaran yang diperlukan hanya di antara 20m hingga 25m sahaja.

Koridor penghantaran elektrik yang sedia ada di Semenanjung Malaysia adalah sepanjang 24,607km. Jika dikalikan dengan kelebaran 25m, jumlah kawasan tanah koridor hantaran elektrik sedia ada adalah 615.18 kilometer persegi (lebih dari 237.5 batu persegi). Ini adalah kawasan tanah yang besar dan sebahagian signifikan dapat digunakan untuk aktiviti pertanian.

Pada mulanya, TNB telah mendapatkan tanah milik kerajaan atau persendirian dengan pelbagai cara – pemberimilikan (alienation), pembelian langsung, TOL atau pajakan seperti yang diperuntukkan dalam Kanun Tanah Negara tetapi sejak 2010, TNB telah menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960.

Dalam kes pajakan tanah, pemilik tanah asal masih mempunyai hak untuk mengusahakan tanah tersebut, tetapi hak ini lupus untuk tanah yang diambil melalui Akta Pengambilan Tanah. Bagaimanapun, TNB boleh menyewakan tanah yang diperolehinya kepada sesiapa sahaja untuk urusan pertanian atau penggunaan lain yang sesuai dengan penggunaan utama sebagai koridor penghantaran elektrik.

TNB tidak keberatan untuk membenarkan aktiviti bercucuk tanam di tanah mereka bagi tujuan ‘menghijaukan’ kawasan kosong di bawah talian pembekalan dan pada masa sama mengurangkan penyelenggaraan pertumbuhan liar dan pencerobohan ke kawasan tersebut.

Perlembagaan Malaysia menetapkan bahawa segala hal ehwal dalam pentadbiran tanah adalah di bawah kuasa kerajaan negeri. Di Semenanjung Malaysia, tanah ditadbir oleh pihak berkuasa negeri masing-masing berdasarkan Kanun Tanah Negara. Sabah dan Sarawak mempunyai undang-undang tanah mereka sendiri iaitu Ordinan Tanah Sabah (Bab 68) dan Kanun Tanah Sarawak (Bab 81). Kerajaan negeri boleh mempermudahkan proses penggunaan tanah kosong untuk mereka yang ingin mencari nafkah dengan aktiviti penanaman atau penternakan.

Kerajaan negeri juga perlu menubuhkan unit khusus bagi mengatasi proses birokrasi yang kompleks untuk mengenal pasti bidang-bidang tanah yang boleh dipakai dan memberi kelulusan secepat mungkin untuk pemohon yang layak. Di samping itu, program sebegini harus diberi publisiti secukupnya. Individu yang berminat untuk mengambil bahagian patut dibenarkan untuk mengenal pasti petak tanah yang sesuai.

Kerajaan negeri juga perlu bekerjasama dengan Jabatan Pertanian yang mempunyai program aktif untuk menyokong pertanian dalam kawasan bandar. Program Pembangunan Pertanian Komuniti dan Program Pertanian Bandar perlu dipertingkatkan dengan segera.Pertanian bandar

Program Pembangunan Pertanian Komuniti yang dijalankan dengan persetujuan pihak berkuasa tempatan membolehkan setiap peserta mengusahakan tiga hingga lima barisan /batas untuk menanam sayur-sayuran, jagung, dan buah-buahan seperti betik dan pisang.

Program ini patut diperkembangkan lagi ke arah pembangunan ladang komuniti untuk membolehkan sekumpulan petani mengusahakan ladang-ladang bersebelahan secara berkelompok yang menggunakan ekonomi skala besar.

Banyak pihak berkuasa di negara-negara lain mengadakan program pertanian bandar untuk melatih komuniti petani bandar meningkatkan kecekapan dan pengetahuan pertanian. Ia juga dapat mempromosikan peluang pekerjaan alternatif untuk penduduk bandar. Ini patut dicontohi dalam keadaan pandemik sekarang yang sedang meruncing.

Usaha untuk mendorong rakyat untuk bertani akan mendapat faedah sampingan iaitu mengoptimumkan sumber nasional untuk pengeluaran makanan semasa dan untuk masa hadapan. Peningkatan hasil makanan tempatan akan membantu mengurangkan defisit imbangan perdagangan sektor makanan yang semakin meningkat, meningkatkan sekuriti makanan negara, dan membantu mengawal harga makanan.

Objektif utama untuk program pertanian sebegini adalah untuk membantu golongan miskin berdiri sendiri. Amat penting untuk program sebegini tidak dipersenjatai oleh ahli politik dan mereka yang berpengaruh serta bersifat tamak bagi mendapatkan untuk diri sendiri.

*Profesor Emeritus Datuk Tengku Shamsul Bahrin ialah Canselor Nilai University

*Profesor Emeritus Datuk Dr Sothi Rachagan ialah Naib Canselor Perdana University

dan Nilai University