Perang belum mula tapi dah ada yang tewas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

AHLI-ahli Parlimen dan para petugas atau kakitangan Parlimen adalah di antara 35 orang yang telah disahkan positif Covid-19 selepas melalui ujian saringan pada Jumaat lalu, demikianlah yang dilaporkan oleh media massa.

Ujian saringan berkenaan diadakan sempena pembukaan Mesyuarat Khas, Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas (2021) yang bermula hari ini.

Selain itu, pihak media turut dimaklumkan, empat lagi ahli Parlimen disahkan sebagai kontak rapat dan mereka terpaksa menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Laporan terbaru menyatakan salah seorang daripadanya ialah Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid dalam posting terbaru di laman Facebooknya menyatakan yang beliau berada dalam keadaan yang baik tanpa sebarang simptom.

Untuk membuktikan beliau dalam keadaan yang baik, Zahid memuat naik foto dirinya sedang menyiram pokok bunga di laman rumah.

Adalah amat malang sekali, Zahid yang sepatutnya berada di Dewan Rakyat hari ini terpaksa menghabiskan masa menyiram pokok di rumah.

Kita mengharapkan beliau boleh mengikuti sidang Parlimen dan mengambil bahagian secara maya. Tetapi ikuti di rumah dengan mengambil bahagian di dalam dewan adalah dua senario yang jauh berbeza sama sekali. Suasana dan perasaannya tidak sama.

Artikel Berkaitan:

Apa pun, kita bersimpati dengan Zahid dan mereka yang telah terlebih dahulu 'tewas’ sebelum masuk gelanggang.

Kembali kepada isu yang sedang berada di hadapan kita, semua sudah sedia maklum pada 8 Julai lalu, Zahid telah mengisytiharkan keputusan partinya untuk menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuat kuasa serta merta.

Untuk seketika, kita semua menjadi bingung dan keliru apabila keputusan tersebut tidak disambut oleh ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan UMNO untuk menarik diri dari kerajaan seolah-olah pendirian berkenaan tidak membawa apa-apa makna.

Malah menteri-menteri dan timbalan menteri BN dan UMNO terus kekal bersama Kerajaan Perikatan Nasional (PN). Sebaliknya, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Jawatan itu dikosongkan sejak Muhyiddin mengambil alih kerajaan dari tangan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bantahan

Hari ini dengan berlangsungnya sidang khas Parlimen selama lima hari, adalah menarik apabila kita semua dapati ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN termasuklah presiden UMNO dan mereka yang menyatakan bantahan secara terbuka kepada PN dan Muhyiddin seperti Tengku Razaleigh Hamzah, Bossku Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Ahmad Jazlan masih duduk di barisan kerajaan, bukan di kawasan wakil Bebas atau Pembangkang walaupun parti mereka telah menarik balik sokongan ke atas Muhyiddin.

Politik ada kalanya mengelirukan kerana apa yang dinyatakan oleh mereka semalam belum tentu lagi terpakai keesokan harinya. Sudah banyak contoh yang berlaku di hadapan mata kita.

Sesi Parlimen ini bermula dengan PM dan barisan kabinetnya membentangkan Pelan Pemulihan Negara, isu terkini mengenai Covid-19, situasi semasa langkah vaksinasi, keadaan ekonomi negara serta pakej bantuan makanan dan lain-lain bantuan kepada yang memerlukan dan hidup dalam kehimpitan kerana pandemik ini.

Selepas itu, ahli Parlimen akan diberi masa lebih kurang lima minit seorang untuk menyoal PM dan barisan kabinet.Tidak ada apa juga bentuk undian dalam sidang khas ini. Ia hanya untuk kerajaan menjelaskan langkah-langkah yang telah dan akan mereka ambil untuk melawan pandemik dan selepas itu, ahli Parlimen dibenarkan bertanya soalan dan menyampaikan pandangan mereka.

Kita jangkakan tempoh masa yang diberi itu mendapat protes daripada semua pihak termasuk daripada ahli Parlimen kerajaan. Sekurang-kurangnya mereka akan memohon masa kecederaan selama lima minit lagi untuk menyuarakan pandangan atau bantahan ke atas pelbagai isu yang sedang melanda negara sekarang.

Yang menarik ialah, sejauh manakah ahli-ahli Parlimen pembangkang akan menguji speaker dan timbalan-timbalannya dengan soalan serta bantahan, jeritan dan tepukan meja dan memprotes dengan enggan mematuhi arahan.

Dewan Rakyat tidak pernah sunyi dari hiruk-pikuk itu dan ini, balas membalas dan jawab menjawab.

Ada kalanya menonjolkan kebijaksanaan dan ada kalanya...

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian