'Cabaran ambil alih tol lebih ketara berbanding mansuh'

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cabaran dalam pengambilalihan lebuh raya bertol di seluruh negara adalah lebih ketara berikutan keadaannya yang berbeza daripada pemansuhan sepenuhnya caj tol, kata seorang penganalisis.

Penganalisis MIDF Amanah Investment Bank, Danial Razak berkata, pengambilalihan pada skala besar seumpama itu akan memerlukan kerajaan mencari alternatif untuk membiayai operasi sekiranya ia mahu mempunyai kawalan sepenuhnya.

“Pemansuhan sepenuhnya caj tol bermakna kerajaan perlu menanggung kos operasi dan penyelenggaraan di masa depan, (dengan itu) menambah satu lagi beban perbelanjaan operasi yang perlu ditampung secara berterusan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan belum mampu mansuhkan tol: Tun M

“Kecuali ada kaedah pembiayaan mampan untuk menampung kos operasi, kami percaya pemansuhan sepenuhnya bukan langkah yang munasabah,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pemansuhan sepenuhnya caj tol akan bermakna kerajaan Persekutuan perlu memikul beban tambahan ke atas bajet fiskal yang sememangnya sudah ketat.

“Untuk lebih praktikal, kita boleh menjangkakan kerajaan untuk mengekalkan tol pada kadar lebih rendah, perkenalkan diskaun waktu puncak atau bekukan kenaikan kadar tol seperti disebut oleh Menteri Kerja Raya Baru Bian pada Oktober tahun lepas,” katanya.

Danial menyifatkan cadangan itu sebagai rasional kerana pengenalan caj kesesakan mungkin akan dapat menampung operasi lebuh raya berkenaan di masa depan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Phillip Capital Management (Pelaburan), Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa untuk berkomunikasi dengan pelabur berhubung langkah untuk mengambil alih projek infrastruktur seperti konsesi tol.

Beliau berkata, walaupun langkah untuk mengambil alih konsesi tol merupakan langkah baik untuk mengurangkan kos hidup, serta menunaikan manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH), ia boleh memberikan tanggapan salah kepada pelabur asing bahawa kerajaan akan terlibat secara lebih aktif dalam projek infrastruktur.

Nazri Khan berkata, jawatankuasa itu boleh menghubungi pelabur, memberi penjelasan bahawa niat kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat tidak akan mempertaruhkan sektor swasta.

Ketika ini, terdapat 29 lebuh raya bertol di negara ini dan ia akan menyebabkan kerajaan perlu menanggung kos antara RM130 bilion hingga RM145 bilion, termasuk hutang RM52 bilion, jika ia mengambil alih semuanya, di samping kos penyelenggaraan dianggarkan antara RM1.5 bilion dan RM2.5 bilion.

Sabtu lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan sudah memulakan rundingan dengan Gamuda Bhd untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya yang syarikat itu mempunyai pegangan majoriti.

Lebuh raya itu ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART.

Ini merupakan "langkah pertama” kerajaan PH dalam menunaikan janji pilihan rayanya untuk memansuhkan kutipan tol secara berperingkat bagi mengurangkan kos sara hidup tinggi ditanggung pengguna lebuh raya berkenaan, kata perdana menteri. - Bernama