X

Kindly register in order to view this article
!

Lima senjata ampuh Azizuhasni

Azizulhasni (dua dari kiri) bersama Shah Firdaus (dua dari kanan) dan jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley (kiri). - Foto Facebook Azizulhasni Awang
A
A

JAGUH lumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berlepas ke Tokyo pada pagi Ahad dalam memburu impian besar membawa pulang pingat emas pertama Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pengurus skuad berbasikal trek negara, Datuk Ashakari Abu Noor percaya Azizulhasni ada lima kelebihan utama dalam merealisasikan impian 32 juta impian rakyat Malaysia menyambar kilauan emas temasya Sukan Olimpik kali ini.

Menurutnya, lima kelebihan utama itu ialah pengalaman, kematangan, kelebihan ranking dalam kutipan mata Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), doa rakyat Malaysia dan aura basikal W-XR Vorteg.

“Kita belum pernah dapat pingat emas. Paling hampir menerusi Datuk Lee Chong Wei. Beliau menang tiga pingat perak Sukan Olimpik. Azizulhasni pula dapat pingat gangsa pada Sukan Olimpik Rio 2016.

“Kali ini ramai yang sandarkan harapan di bahu Azizulhasni. Sebagai pengurus yang telah empat kali bergandingan bersamanya, saya melihat kematangan dan pengalaman Azizulhasni beraksi di pentas besar menjadi kelebihannya kali ini.

“Azizulhasni pernah beberapa kali berlumba di Velodrom Izu. Velodrom itu tidak asing kepada beliau. Saya percaya impian boleh jadi kenyataan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Mengulas tentang ranking UCI, Ashakari yang pada kali terakhir bergandingan bersama Azizulhasni pada temasya Sukan SEA 2017 mengakui ia hanya sekadar satu angka.

“Namun, sedikit sebanyak ia memberi keyakinan diri kepada Azizulhasni. Buat masa ini, kita melihat ramai pelumba lain tampil pada Sukan Olimpik tanpa rekod yang begitu ketara.

“Azizulhasni telah berlatih tanpa mengenal penat. Beliau juga akan menggunakan basikal W-XR Vorteg versi 2021. W-XR versi 2017 telah menobatkannya sebagai juara dunia 2017. Jadi mari kita sama-sama doakan kejayaan Azizulhasni,” ujarnya.

Selain Azizulhasni, skuad berbasikal trek negara turut menyandarkan harapan kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk mencipta kejutan apabila mereka beraksi dalam acara keirin dan pecut pada Olimpik Tokyo 2020.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!