Bayi ditemui di celah pelepah pokok kelapa sawit

Bayi lelaki yang ditemui di celah pelepah pokok kelapa sawit di Kampung Lahat-Lahat Jalan Tanjung Kapor, Semporna pada Ahad.
Bayi lelaki yang ditemui di celah pelepah pokok kelapa sawit di Kampung Lahat-Lahat Jalan Tanjung Kapor, Semporna pada Ahad.
A
A
A

SEMPORNA - Seorang bayi lelaki cukup sifat ditemui di celah pelepah pokok kelapa sawit dalam kawasan kebun di Kampung Lahat Lahat, Jalan Tanjung Kapor pada Ahad.

Bayi yang masih bertali pusat itu dipercayai baru dilahirkan ditemui kira-kira jam 11 pagi oleh penduduk kampung yang berada di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam memberitahu penemuan bayi terbabit.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan awal.

"Sebaik tiba, terdapat seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditemui dalam keadaan berbalut dengan tuala yang diletakkan di celah pelepah sawit.

"Bayi tersebut kelihatan cukup sifat dipercayai baru dilahirkan kurang dari 24 jam sebelum ditemui seorang lelaki yang merupakan penduduk kampung terbabit," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, tiada sebarang dokumen ditemui bersama bayi itu sebelum dibawa ke Hospital Semporna untuk rawatan.

"Bayi seberat 2.85 kilogram itu disahkan dalam keadaan sihat dan kini ditempatkan di Wad Kanak-Kanak Hospital Semporna untuk pemantauan rapi.

Artikel Berkaitan:

"Bayi itu akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan selanjutnya. Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang bayi," katanya.