Benarkan jenazah pesakit Covid-19 dikebumi di tempat ditetapkan

Sukarelawan dari pelbagai agensi mengendalikan jenazah Covid-19 di PUSUMyang dibina sementara di Kompleks Sukan Institut Sukan Negara Jalan Raja Muda Kampung Baru pada Ahad.
Sukarelawan dari pelbagai agensi mengendalikan jenazah Covid-19 di PUSUMyang dibina sementara di Kompleks Sukan Institut Sukan Negara Jalan Raja Muda Kampung Baru pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Waris kepada jenazah pesakit Covid-19 di Pusat Sehenti Urus Mayat (PUSUM) di sini diminta membenarkan urusan pengebumian dilakukan di tanah perkuburan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia bertujuan memudahkan waris jenazah pesakit Covid-19 menyegerakan proses pengebumian kerana kemudahan sudah tersedia termasuk petugas yang menguruskannya secara berjadual.

“Kita merayu kepada keluarga jenazah pesakit Covid-19 mengizinkan proses (pengebumian) dijalankan di dua tanah perkuburan yang ditetapkan iaitu di Raudhatul Sakinah Taman Selasih, Batu Caves dan Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

“Tetapi jika ada mana-mana waris mahu mengebumikan di tanah perkuburan lain, perkara itu terpaksa dirunding dengan pihak pengurusan kerana mungkin ada kekangan tertentu dan ia akan melambatkan proses.

“Dalam keadaan sekarang, adalah lebih baik dikebumikan di tanah perkuburan yang ditetapkan bagi mengelakkan kluster di tempat pengebumian,” katanya selepas meninjau operasi kemudahan PUSUM yang dibina sementara di Kompleks Sukan Institut Sukan Negara, Jalan Raja Muda, Kampung Baru pada Ahad.

PUSUM beroperasi sejak 20 Julai lepas dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menampung keperluan pengurusan mayat yang tinggi berbanding kapasiti penyimpanan mayat sedia ada di Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur.

Pusat itu mempunyai lima kontena yang boleh menampung 225 jenazah dalam satu-satu masa dan hingga kini telah menguruskan 300 jenazah pesakit Covid-19.

Annuar berkata, lima kontena sedia ada setakat ini masih mencukupi untuk menyimpan jenazah pesakit Covid-19 dengan tahap penggunaan kapasiti penyimpanan antara 100 hingga 130 jenazah ketika ini.-Bernama

Artikel Berkaitan: