Bekas pelajar MRSM Besut bantu pelajar kurang kemampuan

Dr Muhammad Azwan (kiri) menyerahkan peranti tablet kepada Riza untuk diserahkan kepada enam pelajar B40 di MRSM Besut pada Ahad.
Dr Muhammad Azwan (kiri) menyerahkan peranti tablet kepada Riza untuk diserahkan kepada enam pelajar B40 di MRSM Besut pada Ahad.
A
A
A

BESUT – Enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Besut di Kampung Raja di sini yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun depan menerima bantuan peranti tablet daripada Persatuan Bekas Pelajar MRSM Ansara Besut (ALPM).

Presiden ALPM, Dr Muhammad Azwan Sulaiman berkata, sumbangan menerusi program ALPM Prihatin itu sebagai tanda keprihatinan persatuan terhadap pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

"ALPM amat prihatin tentang kesukaran dihadapi para pelajar B40 sepanjang pembelajaran dari rumah (PdPR) dan tidak mahu melihat persiapan mereka terganggu untuk peperiksaan penting ini.

"Program hari ini sebagai langkah awal ke arah kerjasama lebih erat. ALPM amat komited dalam membantu dan sentiasa bersedia menyumbang pelbagai bentuk bantuan dan sokongan kepada maktab,” katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata demikian selepas menyerahkan bantuan peranti tablet kepada Pengetua MRSM Besut, Riza Omar di sini pada Ahad.

Hadir sama ialah Timbalan Pengetua (Pembangunan Pelajar), Kamal Farihi Arshad; Timbalan Pengetua (Akademik), Mohd Faisal Yusof; Kaunselor, Mohd Azmi Hasan dan Suria Syahara Sulaiman; Timbalan Presiden ALPM, Mohd Norli Zairy Ramli dan Pengarah Operasi, Syarafuddin Mohd Noor.

Sementara itu, Riza berkata, pihaknya menghargai dan berterima kasih atas sumbangan daripada alumni pelajar dalam membantu meningkatkan kecemerlangan murid sekolah berkenaan.

Menurut beliau, ia merupakan sumbangan pertama alumni sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Sumbangan ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin. Saya berharap agar jalinan erat ini dapat dikekalkan dengan pelbagai aktiviti boleh dianjurkan secara bersama pada masa akan datang," katanya.