X

Kindly register in order to view this article
!

Zahid harap MP UMNO sokong batalkan darurat

Ahmad Zahid Hamidi
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengharapkan agar ahli Parlimen daripada parti itu menzahirkan pendirian untuk mengusulkan supaya Parlimen membahas dan membatalkan proklamasi darurat.

Beliau berkata, sokongan tersebut perlu diberikan melalui undi bagi membatalkan proklamasi darurat dan ordinan-ordinannya.

Menurutnya, ketetapan itu berpandukan kepada beberapa asas termasuk pelaksanaan darurat yang jelas banyak memudaratkan rakyat termasuk kebejatan ekonomi dan keterabaian dalam memelihara kebajikan serta pelaksanaan kompaun melampau.

“Selain itu, pelaksanaan darurat ternyata gagal dalam mengekang dan menangani pandemik Covid-19, sebaliknya sebagai muslihat politik serta alat memandulkan sistem demokrasi berparlimen.

“Asas lain ialah bagi memenuhi dan mentaati Perlembagaan Persekutuan berasaskan Perkara 150(3) yang mengkehendaki proklamasi darurat dan ordinan-ordinannya bukan sekadar dibahas tetapi ditentukan keabsahannya sama ada diluluskan atau dibatalkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ahmad Zahid berkata, mengikut Perkara 150(7) Perlembagaan Persekutuan, Ordinan Darurat akan terus berjalan selama enam bulan sekiranya tidak dibatalkan sebagaimana peruntukan 150(3) dan ia bertentangan dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Katanya, UMNO mendokong dan mentaati Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu yang menitahkan tiada keperluan untuk darurat diteruskan dan segala ordinan perlu dibahaskan di Parlimen seiring dengan Peruntukan 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Selain itu, ia juga bagi memenuhi dan mentaati ketetapan parti bahawa sekiranya darurat diteruskan selepas 1 Ogos, ahli-ahli Parlimen akan menarik sokongan dan menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) daripada UMNO akan meletakkan jawatan,” ujar beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!