X

Kindly register in order to view this article
!

Kadar vaksinasi negara: Malaysia antara terpantas di dunia

Khairy Jamaluddin
A
A

PUTRAJAYA - Langkah kerajaan mempelbagaikan portfolio vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), berjaya mempertingkatkan kadar vaksinasi negara hingga menjadikan Malaysia antara terpantas di dunia, kata Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurutnya, kadar vaksinasi negara adalah tinggi berbanding Korea Selatan, Australia serta negara jiran lain, dengan jumlah pemberian vaksin tertinggi yang direkodkan adalah 507,050 dos suntikan, pada Khamis (21 Julai) lepas.

“Dahulu ada yang sebut Malaysia lambat sertai COVAX dan kenapa kita tidak masukkan semua (portfolio vaksin) di bawah COVAX.

Setakat ini, kita hanya terima 828,000 dos vaksin sahaja, berbanding 6.4 juta dos daripada COVAX.

“Kalau sepenuhnya saya letakkan portfolio vaksin di bawah COVAX... susah kita nanti, jadi ini sebabnya kita pelbagaikan perolehan vaksin,” katanya dalam temu bual bersama media secara maya baru-baru ini.

Portfolio vaksin Covid-19 yang digunakan dalam PICK adalah jenis Pfizer-BioNTech, Sinovac dan CanSino, yang diperoleh daripada pengeluar manakala AstraZeneca melalui perolehan daripada kemudahan vaksin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, COVAX dan juga pengeluar.

Beliau berkata, setakat 21 Julai, Malaysia telah menerima 21,556,750 dos vaksin jenis Pfizer-BioNTech, AstraZeneca serta Sinovac untuk kegunaan PICK dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 16,024,916 dos vaksin telah diberikan di seluruh negara.

“Saya harap kita dapat kekalkan momentum sedia ada ini, untuk kita capai sasaran semua penduduk dewasa di Malaysia (divaksinasi) menjelang Oktober atau November ini,” katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata, seratus peratus populasi dewasa di Malaysia dijangka melengkapkan dos vaksin Covid-19, pada Oktober ini berikutan sasaran pencapaian program vaksinasi negara telah dipercepatkan.

Muhyiddin berkata, tindakan mempercepatkan program vaksinasi itu termasuk meningkatkan kapasiti untuk mencapai kadar suntikan 500,000 dos sehari, adalah berikutan penemuan varian baharu Covid-19 yang lebih ganas dan kes positif yang meningkat dengan mendadak.

Mengenai penjualan vaksin Covid-19 oleh pihak swasta, Khairy berkata inisiatif tersebut juga dapat meningkatkan kadar vaksinasi negara dan garis panduan mengenainya sedang diperincikan.

“Malaysia membeli bekalan vaksin yang cukup untuk PICK cuma jika mahu vaksin dengan cepat, mereka boleh pergi kepada pihak swasta nanti.

“Kalau mahu vaksin Pfizer-BioNTech, mereka kena tunggu melalui PICK kerana bekalan adalah menerusi jadual ditetapkan.

Kita sentiasa gesa pengeluar untuk penuhi jadual penghantaran ditetapkan,” katanya.

Pada Jumaat, Khairy berkata, harga siling dan garis panduan penjualan vaksin Covid-19 keluaran Sinovac oleh pihak swasta akan ditetapkan mulai Ogos ini.- Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!