Tuduh PH rasuah pengundi naratif politik Najib, BN

Rais Hussin Mohamed Ariff
Rais Hussin Mohamed Ariff
A
A
A

SHAH ALAM - Tuduhan yang kononnya PH merasuah pengundi-pengundi di Semenyih disifatkan sebagai satu naratif politik yang dimainkan oleh BN dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak demi untuk mendapatkan kemenangan pada PRK DUN Semenyih.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff, Najib dan BN kini sedang menikmati peranan mereka sebagai pembangkang dan membuat pelbagai tuduhan kepada PH tanpa sebarang bukti yang kukuh.

"Itu cakap dia (Najib) mana kita tahu benar atau tidak yang dia rompak dia tidak nampak. Ini adalah naratif politik yang dimainkan BN kerana tidak mungkin PH tidak tahu sebarang perbuatan untuk merasuah pengundi adalah satu kesalahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Najib ramal PRK Semenyih dibatalkan?

"Dia (Najib) sekarang menjadi pembangkang jadi senang sahaja buat tuduh, kalau hendak buat aduan, dia boleh buat dan biar siasatan menentukan sama ada perkara ini wujud atau tidak," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Semalam, Najib meramalkan terdapat kemungkinan PRK DUN Semenyih akan diadakan semula jika PH memenangi pilihanraya tersebut ekoran pemberian hamper dan khidmat membaik pulih rumah kepada pengundi yang menyalahi undang-undang pilihan raya.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, tindakan itu boleh dijadikan alasan ataupun bukti oleh pihak yang tewas untuk mencabar keputusan PRK sama seperti yang berlaku kepada kerusi Parlimen Cameron Highlands yang dibatalkan oleh mahkamah kerana didapati ada unsur rasuah sehingga menyebabkan PRK dilakukan semula.

Dalam pada itu, Rais Hussin ketika diminta mengulas mengenai peluang mereka pada pilihanraya kecil itu, beliau yakin PH mempunyai peluang yang tinggi namun dalam masa yang sama perlu mengukuhkan komunikasi dengan pengundi.

Artikel Berkaitan:

"Saya ada di sana beberapa hari lalu terutama di kampung dan bandar dan saya lihat peluang tinggi namun perlu lebih banyak perkuatkan komunikasi misalnya tentang pengumuman mekanisme baharu tol yang akan dilaksanakan secara beransur-ansur," jelasnya.

Mengenai tuduhan PH tidak melaksanakan janji, beliau berkata, pelaksanaan manifesto mempunyai fasa tertentu yang mana sebelum ini telah berjaya dilaksanakan dalam tempoh 100 hari selepas mengambil alih negara.

"Fasa kedua adalah dalam tempoh lima tahun, kalau tidak kerana BN yang telah meninggalkan pelbagai masalah kepada negara, kita sudah boleh buat laksanakan janji kita tetapi malangnya kita terpaksa bina semula negara ini.

"Kita ada masa lima tahun untuk laksana manifesto, seperti yang kita tahu empayar Rom tidak dibina dalam sehari. Kita kena buat tanpa memusnahkan masa depan dan tidak mahu hutang sana-sini," jelas beliau.