X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Kadar kemasukan ke hospital dijangka menurun Ogos ini

Khairy Jamaluddin. - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kes Covid-19 serta kadar kemasukan ke hospital dijangka menurun bulan hadapan (Ogos), apabila 40 peratus populasi penduduk dewasa di negara ini lengkap divaksinasi, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, penggunaan vaksin mampu mencegah kesan teruk apabila dijangkiti Covid-19 dan kadar kemasukan ke hospital untuk warga emas juga telah menunjukkan trend penurunan.

Berdasarkan data dari Hospital Sungai Buloh, katanya kadar kemasukan ke hospital untuk warga emas bagi kategori 4 dan 5, menunjukkan trend penurunan selaras pelaksanaan Fasa 2 PICK.

“Vaksin Covid-19 sememangnya alat perlindungan penting kepada manusia dalam berdepan virus SARS-CoV-2,” katanya dalam temu bual bersama media secara maya baru-baru ini.

Khairy berkata, keraguan terhadap keberkesanan vaksin Covid-19 di negara ini dilihat semakin menurun, setelah ramai yang mendaftar untuk menerima suntikan.

“Mungkin ada yang tidak mahu menerima vaksin sebab ingin ambil ubat yang lain-lain, tetapi apabila diumumkan apa yang dibenarkan sekiranya lengkap vaksinasi, lebih ramai akan tampil untuk divaksinasi,” katanya.

Mengenai keperluan untuk suntikan ketiga vaksin (booster) di negara ini, beliau berkata perkara tersebut akan dikemas kini dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) pada minggu hadapan.

Katanya, beliau difahamkan 'technical working group' yang dipengerusikan Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal, Institut kesihatan Negara (NIH) Dr Kalaiarasu M. Peariasamy, akan buat beberapa syor berkenaan 'booster shot'.

Dalam pada itu, Khairy berkata, pihaknya telah meminta Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), untuk memeriksa aspek pengudaraan di semua pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara bagi mengelakkan berlakunya penularan wabak Covid-19 di PPV. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!