Peluang sertai Pasukan simpanan sukarela TLDM

Abdul Rahman (duduk tengah) bergambar bersama pegawai dan anggotanya serta penduduk kampung.
Abdul Rahman (duduk tengah) bergambar bersama pegawai dan anggotanya serta penduduk kampung.
A
A
A

BOTA - Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Sri Manjung mengalu-alukan kerjasama daripada penduduk kampung mahupun agensi dan jabatan kerajaan menganjurkan program bersama mereka.

Pegawai Laksana KD Sri Manjung, Komander Abdul Rahman Abdul Hamid berkata, kerjasama dalam menganjurkan program bukan sahaja mengeratkan silaturahim malah membantu mereka merekrut ahli simpanan baharu.

"Kami mengalu-alukan jemputan atau pelawaan penduduk kampung serta agensi dan jabatan kerajaan untuk diadakan program bersama seperti Program Jiwa Murni anjuran kami dalam mengeratkan silaturahim dan mempromosi pasukan simpanan TLDM.

"Selain itu, kerjasama ini juga memberi peluang kepada pasukan simpanan TLDM menarik minat golongan muda atau belia untuk menyertai pasukan ini," katanya kepada Sinar Harian selepas hadir pada Program Jiwa Murni Anjuran Pasukan Simpanan Sukarela TLDM KD Sri Manjung, di Felcra Nasaruddin, di sini, baru-baru ini.

Abdul Rahman berkata, bagi mereka yang berminat menyertai pasukan simpanan sukarela TLDM anggotanya akan mengambil nama dan butiran sebelum dipanggil ke temuduga terbuka apabila ia dijalankan.

Mengulas mengenai Program Jiwa Murni, Abdul Rahman berkata, ia merupakan program yang dijalankan sekurang-kurangnya dua tahun sekali dengan mengadakan pelbagai aktiviti antaranya gotong-royong.

"Bagi program di Felcra Nasaruddin ini, seramai 50 pegawai dan anggota pasukan simpanan terlibat membersihkan kawasan masjid, sekolah serta tanah perkuburan bermula jam 9 pagi," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Al Muhajirin, Felcra Nasaruddin, Abdul Razak Borhan berkata, pihaknya dan penduduk kampung mengucapkan terima kasih atas kesudian pasukan simpanan sukarela TLDM memilih kampung mereka bagi program berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Ini pertama kali pasukan simpanan sukarela TLDM KD Sri Manjung mengadakan program bersama kami dan saya berharap ia dapat diteruskan akan datang tidak kira di sini atau di tempat lain," katanya.