X

Kindly register in order to view this article
!

55 ahli Parlimen termasuk dari Sabah tuntut penambahan 13 PSSC

Madius ketika sidang akhbar bersama dengan beberapa ahli Parlimen lain yang turut menandatangani kenyataan bersama itu.
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Parlimen dari Sabah antara 55 yang menuntut penambahan 13 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) supaya kesemua 220 ahli Parlimen berfungsi sepenuh masa.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau dalam kenyataan bersama memaklumkan, beliau antara 62.5 peratus daripada 88 ahli Parlimen persendirian mewakili barisan pembangkang dan bangku belakang (backbenchers) kerajaan menggesa sekurang-kurangnya 13 lagi PSSC ditubuhkan.

"Ini supaya semua kementerian dapat dipantau dengan berkesan dan semua ahli Parlimen dipertanggungjawabkan sekurang-kurangkan satu PSSC dan harus berpeluang untuk mengambil bahagian secara berkesan dalam proses penggubalan undang-undang serta pembuatan dasar nasional.

"Parlimen tidak boleh dianggap sebagai batu loncatan sahaja untuk menjadi menteri dan timbalan menteri sebaliknya ahli-ahli Parlimen perlu diberi ruang melaksanakan peranan mereka memantau kerajaan secara sepenuh masa," katanya dalam sidang akhbar secara maya berhubung perkara itu pada Ahad.

Menurut Madius lagi, walaupun Parlimen tidak bersidang untuk meluluskan undang-undang dan berdebat mengenai dasar, ahli Parlimen persendirian mesti dibenarkan melaksanakan tanggungjawab semak dan imbang kepada kerajaan menerusi PSSC.

"Setiap jawatan kuasa perlu fokus kepada satu portfolio atau kluster kementerian dan perlu bermesyuarat secara kerap sepanjang tahun untuk meneliti isu dan mendengar pandangan rakyat.

"Malangnya, kita sekarang mempunyai 30 portfolio kementerian tetapi hanya sembilan PSSC yang meneliti 20 portfolio kementerian malah ada portfolio penting digabungkan di bawah satu jawatankuasa sahaja," katanya.

Katanya, daripada 220 ahli Parlimen sedia ada, selain dua timbalan speaker dan 64 menteri, duta khas atau timbalan menteri, terdapat 154 ahli Parlimen bangku belakang kerajaan dan pembangkang yang boleh menganggotai jawatankuasa.

"Dengan hanya sembilan PSSC dan terdapat beberapa ahli Parlimen yang mengambil tempat dalam beberapa PSSC, hanya 61 ahli Parlimen dapat menyertai PSSC dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) manakala lima lagi duduk sahaja dalam satu atau lebih daripada empat jawatankuasa tetap yang lain," katanya.

Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh beliau sendiri bersama 54 ahli Parlimen lain termasuk dari Sabah iaitu Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew; Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin; Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual dan Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Selain itu, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang; Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof; Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar; Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik serta beberapa ahli Parlimen yang lain turut menandatangani kenyataan bersama itu.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!