Tiga bot nelayan bernilai RM2.1 juta dirampas

Bot nelayan tempatan yang dikesan melakukan pelanggaran syarat sah lesen di perairan Rungkup pada Ahad.
Bot nelayan tempatan yang dikesan melakukan pelanggaran syarat sah lesen di perairan Rungkup pada Ahad.
A
A
A

BAGAN DATUK - Jabatan Perikanan Perak menahan tiga bot nelayan tempatan bersama 300 kilogram hasil tangkapan bernilai hampir RM2.1 juta dalam pemeriksaan di perairan Rungkup dekat sini pada Ahad.

Ketua Pangkalan Utama Cawangan Perlindungan Sumber (CPS) Kampung Acheh, Mansor Yobe berkata, penahanan itu dibuat hasil pemantauan bot ronda PL 91 di kedudukan antara 5.11 hingga 7.2 batu nautika sekitar jam 9 pagi.

Menurutnya, kesemua bot berkenaan didapati melakukan beberapa kesalahan termasuk melanggar syarat sah lesen di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.

"Pemeriksaan juga mendapati terdapat lapan nelayan asing warga Myanmar berusia antara 37 dan 45 tahun bekerja di atas bot-bot terbabit.

"Bagaimanapun, khidmat nelayan asing itu digunakan tanpa mendapatkan kebenaran bertulis Ketua Pengarah Perikanan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas bot berjaya mengesan binaan struktur tetap simpanan bahan api di bahagian depan rumah kemudi.

Katanya, berdasarkan peraturan, binaan itu tidak dibenarkan kerana dibimbangi berlaku penjualan bahan api bersubsidi.

"Kita dapati, pemilik bot membuat tangki tambahan untuk simpan bahan api bagi tujuan yang diragui.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua bot yang ditahan dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk tindakan selanjutnya," katanya.