Saran uji 'Covid Neutralizing Antibody Test' luar bidang kuasa polis

Acryl Sani
Acryl Sani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenyataan menyarankan penerima vaksin yang khuatir disuntik dengan vaksin kosong untuk melakukan ujian 'Covid Neutralizing Antibody Test' adalah di luar bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sebarang kesulitan atau persoalan yang timbul susulan kenyataan akhbar Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah semalam (Sabtu) berkenaan ujian tersebut adalah dikesali.

"PDRM akan mengambil langkah selari dengan Kementerian Kesihatan (KKM), pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Covid-19 (JKJAV)," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, usaha tersebut merupakan proses memastikan perkhidmatan vaksinasi terbaik disampaikan kepada orang ramai.

Pada Sabtu, PDRM menyatakan pihaknya tidak mengesan sebarang sindiket atau individu yang disyaki cuba menjual atau memasarkan vaksin Covid-19 setakat ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, orang ramai boleh melaporkan kepada pihak polis sekiranya berlaku penawaran palsu atau penipuan penjualan vaksin di pasaran dan secara dalam talian atau sebarang usaha penjualan vaksin yang bukan mengikut Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menurut Abd Jalil, penerima vaksin yang gelisah dan berasa diperdayakan dengan tidak disuntik vaksin Covid-19, mereka boleh buat ujian 'Covid Neutralizing Antibody Test' di makmal perubatan berlesen sebulan selepas suntikan dos kedua.

Artikel Berkaitan: