Serah kepada polis siasat penghulu tampar warga emas

Mohd Amar
Mohd Amar
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut mengenai kes seorang lelaki yang mendakwa ditampar seorang penghulu di Kampung Aur Duri, Salor di sini baru-baru ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, bagaimanapun difahamkan kejadian sebenar tidak seperti mana yang tersebar dan beliau sendiri sudah mendapat penjelasan mengenainya.

"Saya difahamkan sudah ada perbincangan agar isu itu diselesaikan secara baik tetapi apabila ada pihak ketiga yang campur tangan, lain pula yang berlaku.

"Setahu saya wakil rakyat yang disebut dalam video itu memang ada memberi cek tetapi kerana kesilapan oleh penerima, wang itu gagal dikeluarkan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan kepada 250 ibu tunggal di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor di sini pada Ahad.

Mohd Amar berkata, wakil rakyat berkenaan juga sudah memberi wang tunai kepada lelaki tersebut sebagai ganti dan isu itu dianggap selesai.

Jumaat lepas, Bernama melaporkan polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang lelaki warga emas yang mendakwa penghulu berkenaan menampar pipi dan menepuk-nepuk dahinya kerana didakwa menyebarkan fitnah berkaitan cek pemberian seorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang dikatakan 'cek kosong'.

Mengulas lanjut mengenai bantuan daripada kerajaan, Mohd Amar yang juga Pengerusi Majlis Penghulu Kelantan berkata, kerajaan negeri sebenarnya sudah lama mengedarkan senarai nombor telefon penghulu untuk dihubungi.

"Dari segi pembahagian bantuan, ia berjalan lancar tetapi kita tidak nafikan mungkin ada yang tercicir dan mereka sebenarnya boleh menghubungi nombor tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Setiap kawasan DUN memang disediakan nombor hotline dan sekiranya tiada maklum balas daripada penghulu atau gagal dihubungi, mereka boleh terus datang ke pejabat pusat khidmat untuk mendapatkan bantuan," katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:Warga emas cedera ditampar penghulu