Persatuan pengusaha jentera berat rayu struktur semula pinjaman

Pekerja dalam perkhidmatan jentera berat milik Mohd Effandie di hadapan kren yang sudah lama tidak beroperasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik Covid-19.
Pekerja dalam perkhidmatan jentera berat milik Mohd Effandie di hadapan kren yang sudah lama tidak beroperasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik Covid-19.
A
A
A

SHAH ALAM - Kira-kira 1,000 ahli daripada tiga persatuan membabitkan jentera berat merayu kepada syarikat pinjaman dan kredit di negara ini untuk memberi bantuan dalam bentuk penstrukturan semula pembayaran balik pinjaman sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Persatuan itu membabitkan Persatuan Pemilik Mesin Derek Bergerak Malaysia (1987), Persatuan Kontraktor Jentera Mekanikal dan Elektrikal Melayu Malaysia (Baru) dan Persatuan Ampunya Jentera Pembinaan Berat Malaysia.

Ketiga-tiga persatuan itu turut meminta kerajaan untuk segera campur tangan bagi membolehkan mereka keluar daripada masalah tersebut.

Presiden Persatuan Pemilik Mesin Derek Bergerak Malaysia (1987), Alec Chong berkata, pandemik Covid-19 memberi impak besar terhadap ekonomi dunia dan kesan dominonya, Malaysia turut mengalami penyusutan khususnya dalam bidang pembinaan.

"Walaupun dengan pembukaan semula sektor pembinaan, ekonomi negara masih perlahan. Tanpa dijangka akibat dari pandemik ini juga, harga bahan binaan naik mendadak ditambah pula dengan kekurangan pekerja dan pelbagai sekatan yang lain. Ramai pemaju mengambil tindakan untuk mengurangkan penglibatan dalam projek-projek baharu.

"Akibatnya, banyak syarikat dalam sektor pembinaan mengalami kemerosotan ketara dalam perniagaan mereka. Ini turut menjadi salah satu cabaran dihadapi oleh kami, ahli dari ketiga-tiga persatuan," katanya dalam satu kenyataan bersama pada Ahad.

Beliau berkata, masalah ditambah lagi dengan kesukaran mendapatkan bayaran daripada pelanggan atau pihak yang berhutang menyebabkan berlaku tekanan tinggi dalam mengimbangi aliran tunai perniagaan.

"Ada antara ahli persatuan terpaksa menjual aset-aset supaya mampu bertahan dan lebih malang, ada ahli persatuan yang kini di ambang muflis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, akibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa negeri juga, sektor pembinaan terpaksa ditutup, sekali gus menjejaskan jumlah pendapatan ahli persatuan.

Dalam masa sama, katanya, mereka perlu menanggung gaji pekerja, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan sewa premis.

"Hasil tinjauan kami baru-baru ini, kebanyakan ahli telah lama bergantung dengan syarikat pinjaman dan kredit bagi kemudahan pinjaman sewa beli jentera-jentera berat baharu," katanya.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Kontraktor Jentera Mekanikal dan Elektrikal Melayu Malaysia (Baru), Datuk Seri Mohd Effandie Ahmad berkata, tanpa bantuan penstrukturan semula pinjaman dan pemberian moratorium selama enam hingga 12 bulan ke atas, aliran tunai ramai ahli persatuan akan terkesan lebih teruk.

Mohd Effandie berkata, penstrukturan semula dalam tempoh yang panjang dilihat dapat membantu industri pembekalan jentera berat untuk bertahan dalam tempoh Covid-19 yang masih belum pasti bila akan berakhir.

"Kerajaan diharap dapat memainkan peranan dalam memastikan langkah-langkah yang dicadangkan ini bagi mengelakkan syarikat ditutup serta supaya semua pekerja dapat kekal bekerja seperti biasa selepas pandemik Covid 19 reda," katanya.

Bagi Presiden Persatuan Ampunya Jentera Pembinaan Berat Malaysia, Liew Yu Chan pula, walaupun ahli-ahlinya telah bertemu dengan syarikat pinjaman dan kredit untuk meminta penangguhan bayaran balik pinjaman, mereka telah dikenakan caj faedah yang sangat tinggi dan tidak munasabah.

"Covid-19 telah mengakibatkan 10 hingga 20 peratus syarikat ahli-ahli kami gulung tikar. Kami berharap syarikat pinjaman dan kredit bukan sekadar memberi moratorium ke atas bayaran balik pinjaman tetapi menyemak semula kadar faedah yang dikenakan," katanya.

Menurut kenyataan sama, Persatuan Pemilik Mesin Derek Bergerak Malaysia (1987) telah menghantar surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 9 Julai lalu untuk meminta bantuan, bagaimanapun sehingga kini belum ada sebarang jawapan.