KPDNHEP rampas 112,350 pelitup muka tiruan

Salah satu premis di sekitar Bandaraya Johor Bahru yang disyaki menjual pelitup muka tiruan dalam serbuan pada Sabtu.
Salah satu premis di sekitar Bandaraya Johor Bahru yang disyaki menjual pelitup muka tiruan dalam serbuan pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas sebanyak 112,350 keping pelitup muka dianggarkan bernilai RM60,669 yang disyaki tiruan dalam satu operasi khas di sekitar bandar raya ini pada Sabtu.

Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd Khairul Anuar Bohro berkata, operasi berkenaan dilakukan ke atas tiga buah premis di Taman Sentosa dan Tebrau di sini bermula pada jam 2 petang.

"Seramai 10 anggota pegawai penguat kuasa bersama-sama wakil pemilik cap dagang Neutrovis membuat pemeriksaan ke atas tiga buah premis terbabit. Ia berikutan aduan yang diterima daripada pemilik cap dagang berkenaan.

"Kesemua premis disyaki menjadikan rumah sebagai tempat untuk menjalankan aktiviti penyimpanan serta pengedaran stok bagi kesemua pelitup muka berkenaan," katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Menurut Mohd Khairul Anuar, kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu menggunakan perihal dagangan palsu ke atas barangan bagi tujuan perdagangan.

"KPDNHEP Johor akan terus bekerjasama dengan pemilik cap dagang dan agensi-agensi lain dalam usaha melindungi hak pengguna dan hak harta intelek milik industri.

"Peniaga juga diberi amaran supaya tidak menjalankan urus niaga dengan menggunakan perihal dagangan palsu atau barangan tiruan kerana tindakan tegas akan diambil," ujar beliau.

Artikel Berkaitan: