Sasar vaksinasi 40,000 orang asli di Perak

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Perak dan Kedah menyasarkan seramai 42,363 orang asli di Perak akan menerima vaksin Covid-19 sekurang-kurangnya satu dos sehingga penghujung tahun ini.

Pengarahnya, Harulnizam Abd Rahman berkata, setakat ini seramai 2,181 orang asli di Perak telah menerima suntikan dos pertama manakala 1,337 sudah melengkapkan kedua-dua dos menerusi lapan Program Outreach Vaksinasi Covid-19 Komuniti Orang Asli di negeri ini yang diadakan di Orang Asli One Stop Centre (OAOSC), Sungai Siput pada 26 Jun lalu.

“Kami akui setakat ini jumlah yang menerima vaksin agak rendah daripada jumlah keseluruhan mereka, jadi untuk pastikan sasaran ini dicapai, kami akan pastikan program outreach ini diperluaskan lagi dalam kadar segera dan mungkin boleh dilaksanakan setiap hari di kawasan yang telah dikenal pasti.

“Cuma pada ketika ini, kekangan kami adalah berdasarkan bekalan vaksin dan kami harap kerjasama serta perbincangan dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak akan memudahkan perkara ini,” katanya pada sidang akhbar pada Program Outreach Vaksinasi Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Chadak, Ulu Kinta, di sini pada Ahad.

Seramai 204 orang asli di sekitar perkampungan itu menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 dalam program yang kali kedua dijalankan di kawasan berkenaan.

Beliau mengakui pada peringkat awal terdapat kekangan untuk menerangkan kepentingan vaksinasi kepada orang asli namun program outreach berkenaan telah menjadi pemudah cara bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran komuniti itu berhubung perkara tersebut.

Mengulas keberkesanan program itu, Harulnizam berkata, ia merupakan satu platform terbaik untuk memastikan orang asli menerima suntikan vaksin secara menyeluruh walaupun berdepan pelbagai kekangan termasuk masalah pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera.

“Kita lihat di sini, mereka ada laluan khas yang disediakan untuk divaksin. Kita pun faham macam sesetengah tempat (perkampungan orang asli) tiada akses internet dan tidak ada telefon jadi mereka tak mahir dalam penggunaan MySejahtera. Jadi kami buat ini secara manual untuk mereka daftar dan terima vaksin,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Harulnizam berkata, beliau turut berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberikan kerjasama penuh kepada pihaknya dan JKN Perak sepanjang program berkenaan dilangsungkan. - Bernama