'Bakul Prihatin Negara bukan semata-mata bantuan makanan'

Rina (kiri) menyantuni warga kota yang terkesan akibat pandemik Covid-19 bagi mengagihkan bantuan Bakul Prihatin Negara pada Ahad.
Rina (kiri) menyantuni warga kota yang terkesan akibat pandemik Covid-19 bagi mengagihkan bantuan Bakul Prihatin Negara pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bakul Prihatin Negara bukan semata-mata bantuan makanan tetapi sebagai pencetus pelbagai bentuk sumbangan lain kepada rakyat memerlukan yang akan diberi perhatian sewajarnya.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, hasil pelaksanaan agihan Bakul Prihatin Negara pada Ahad, pihaknya mengenal pasti kes-kes tertentu melibatkan beberapa pemohon yang memerlukan pembelaan.

Beliau berkata, dengan agihan Bakul Prihatin Negara, masalah lain yang dihadapi penerima akan diberi perhatian dan diambil tindakan dengan kerjasama agensi lain.

"Pemohon mempunyai masalah mereka tersendiri.

Contohnya, daripada lima pemohon yang kita temui hari ini, ada kes melibatkan sembilan sekeluarga yang tinggal dalam rumah satu bilik bersama warga emas yang terlantar.

"Tindakan segera diambil memastikan keluarga ini mendapat bantuan rumah yang lebih selesa dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, terdapat juga ibu tunggal yang memerlukan bantuan tambahan bagi meningkatkan pendapatan daripada perniagaan diusahakan.

"Bakul hanya permulaan dan pencetus.

Artikel Berkaitan:

Tapi daripada bantuan bakul ini, kita boleh kenal pasti banyak lagi masalah-masalah dan isu masyarakat.

"Bahkan apabila kita turun padang, kita juga bawa kaunselor untuk memberikan mereka bimbingan dan motivasi berdepan cabaran hidup," katanya ketika sidang akhbar selepas menemui lima pemohon Bakul Prihatin Negara sekitar ibu negara pada Ahad.

Sementara itu, Rina berkata, sehingga 24 Julai lalu, sebanyak 314,749 permohonan Bakul Prihatin Negara diterima Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Sejak permohonan dibuka pada 19 sehingga 24 Julai lalu, seramai 11,740 penerima Bakul Prihatin Negara telah ditemui melibatkan sebanyak 40,410 isi rumah di seluruh negara," kata beliau.

Bakul Prihatin Negara yang dilancarkan pada 15 Julai lalu merupakan cetusan idea Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai tindak balas proaktif kerajaan terhadap senario dihadapi rakyat pada masa ini yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Sebanyak RM21 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan Bakul Prihatin Negara dengan peruntukan sebanyak RM5 juta dan sumbangan daripada lima syarikat korporat bernilai RM16 juta.