FAM mohon anjur dua aksi persahabatan

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memohon pertimbangan kerajaan untuk memberikan kebenaran menganjurkan dua perlawanan persahabatan secara gelembung bioperubatan untuk pasukan Harimau Malaya pada September depan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, FAM juga telah membuat permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melakukan pembentangan kertas cadangan penganjuran dua aksi tersebut.

"FAM telah membuat permohonan kepada MKN dan KKM menerusi Kementerian Belia dan Sukan supaya FAM diberi peluang untuk melakukan pembentangan sendiri kepada MKN dan KKM untuk kertas cadangan penganjuran dua perlawanan antarabangsa membabitkan skuad Harimau Malaya secara gelembung bioperubatan di negara ini pada awal September 2021.

"Bagi memperkukuhkan lagi fakta dan hujah bagi kertas cadangan penganjuran perlawanan antarabangsa ini, FAM turut telah mendapat persetujuan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang akan bersama-sama membantu FAM dalam mesyuarat dengan MKN nanti.

"Wakil daripada AFC akan berkongsi butiran prosedur operasi standard (SOP), fakta dan pengalaman mereka sepanjang penganjuran Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 dan perlawanan AFC (Piala AFC dan Liga Juara-Juara Asia) secara gelembung bioperubatan di beberapa negara lain," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Skuad Harimau Malaya bakal mengharungi Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadual diadakan pada Januari tahun depan.
Skuad Harimau Malaya bakal mengharungi Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadual diadakan pada Januari tahun depan.

Pada masa sama, Stuart berharap MKN dan KKM lebih terbuka untuk membincangkan perkara tersebut dengan FAM dan AFC memandangkan SOP dan gelembung bioperubatan itu telah dilaksanakan dan terbukti berkesan di peringkat global dan bukannya sesuatu yang belum diuji.

"AFC juga telah bersetuju untuk bekerjasama dan membantu FAM dalam pengendalian operasi dua perlawanan antarabangsa secara gelembung bioperubatan pada September itu nanti.

Artikel Berkaitan:

"FAM yakin kertas cadangan dan perincian SOP yang dibuat bagi penganjuran perlawanan antarabangsa secara gelembung bioperubatan ini akan dapat diluluskan oleh pihak MKN dan KKM kerana ia dibuat dengan mengambil kira SOP secara teliti dalam semua aspek keselamatan dan kesihatan bagi pasukan kebangsaan dan juga pasukan lawan yang akan hadir ke negara ini.

"FAM sama sekali tidak mahu mengambil risiko ke atas keselamatan pemain, pegawai serta seluruh rakyat Malaysia dan FAM yakin gelembung bioperubatan ini dapat dilaksanakan dengan cara yang selamat dan terjamin untuk keselamatan semua pihak yang terlibat kerana ia telah pun terbukti berkesan di peringkat global," ujarnya.

Menurut Stuart, tiga pasukan berada dalam pertimbangan FAM bagi dua perlawanan persahabatan antarabangsa tersebut yang dijadual pada jendela Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dari 30 Ogos hingga 7 September iaitu Palestin yang menduduki ranking ke104 dunia, India (105) dan Taiwan (141).

Untuk rekod, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe akan mengharungi Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadual diadakan pada Januari tahun depan.