X

Kindly register in order to view this article
!

Nafuzi enggan fikir perebutan takhta Liga Super

TFC mengukuhkan kedudukan di kelompok teratas Liga Super selepas membenam Perak FC pada Sabtu. FOTO: FB TFC
A
A

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain enggan memikirkan mengenai perebutan kedudukan teratas Liga Super dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas membelasah Perak FC 5-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Sabtu.

Menurut Nafuzi tumpuannya lebih terarah kepada persiapan skuad Peteh itu untuk menghadapi baki lapan perlawanan terakhir Liga Super.

"Saya tidak memfokuskan kepada JDT. Apa yang penting adalah persiapan untuk pasukan saya sendiri. Kita tahu masih ada baki lapan perlawanan dengan setiap perlawanan amat penting.

"Kami akan cuba ambil semaksimum mata dalam semua perlawanan itu. Kalau kita mampu konsisten, maka Terengganu boleh berada di kedudukan atas.

"Namun, perlu diingat juga lapan perlawanan ini semuanya sukar. Dalam bola sepak apa juga boleh berlaku dan saya harap semua pemain dapat berusaha lebih keras," katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Kemenangan ke atas Perak itu mengukuhkan kedudukan TFC di kedudukan kedua liga dan berkongsi 30 mata dengan pendahulu liga, JDT yang kekurangan satu perlawanan.

Dalam pada itu, Nafuzi tidak menjangka akan melakar kemenangan besar ke atas Perak dan menghamburkan pujian kepada para pemainnya yang menampilkan persembahan cemerlang.

"Ini tiga mata yang berharga selepas dua bulan tidak beraksi. Malam ini kalau kita tengok semua pemain beri yang terbaik seperti yang kita rancang.

"Saya tidak jangka kemenangan besar ini dan kredit kepada pemain-pemain saya yang bekerja keras selain ini rezeki lebih untuk malam ini. Namun apa yang lebih penting adalah kemenangan," ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!