Lelaki lemas ketika pulang dari memancing

Operasi mencari mangsa dilakukan anggota BBP Kimanis sebaik menerima panggilan seorang mangsa dikhuatiri lemas di muara Sungai Benoni, Papar.
Operasi mencari mangsa dilakukan anggota BBP Kimanis sebaik menerima panggilan seorang mangsa dikhuatiri lemas di muara Sungai Benoni, Papar.
A
A
A

PAPAR - Seorang lelaki ditemui lemas selepas hilang dibawa arus ketika dalam perjalanan pulang dari memancing di muara Sungai Benoni pada Sabtu.

Difahamkan mayat mangsa, Muhamad Hasyidan Haris, 27, ditemui pada jam 4 pagi Ahad oleh ahli keluarganya yang melakukan pencarian di kawasan terbabit.

Menurut sepupu mangsa, Nasrul Hakim Zamri, 24, dia bersama mangsa dan seorang lagi rakan keluar memancing pada jam 6 pagi Sabtu.

Katanya, ketika kejadian, mereka bertiga sudah dalam perjalanan pulang namun ketika tiba di muara sungai, enjin bot tercabut selepas tersangkut pada pasir.

"Sepupu saya (mangsa) terjun untuk mencari enjin itu tetapi tidak berjaya menemuinya menyebabkan kami berdua turut turun untuk membantu mencari.

"Ketika kejadian, air cuma berada di paras lutut tetapi arus deras menyebabkan kami dibawa ke kawasan yang kedalaman paras dada.

"Kami kemudian terpisah dan saya meminta tolong sepupu sebelum dia bertindak berenang menyelamatkan saya. Saya sempat mencapai tangannya namun terlepas sebelum berjaya mencapai tali bot manakala sepupu saya ketika itu turut dibawa arus dalam keadaan tenggelam dan timbul sebelum hilang dari pandangan kami," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Ahad.

Katanya lagi, selepas kira-kira setengah jam bergelut dalam arus deras mereka berdua yang terselamat dan dalam keadaan keletihan cuba mendapatkan bantuan daripada penduduk kampung selain menghubungi talian kecemasan 999.

Artikel Berkaitan:

Operasi mencari mangsa dilakukan oleh anggota BBP Kimanis sebaik menerima panggilan seorang mangsa dikhuatiri lemas di muara Sungai Benoni, Papar.
Operasi mencari mangsa dilakukan oleh anggota BBP Kimanis sebaik menerima panggilan seorang mangsa dikhuatiri lemas di muara Sungai Benoni, Papar.

"Usaha mencari sepupu dilakukan oleh ahli keluarga sejak kejadian itu dibantu pasukan penyelamat.

"Saya kemudian dimaklumkan mangsa ditemui pada jam 4 pagi oleh bapanya sendiri dalam keadaan tersangkut kira-kira setengah kilometer dari lokasi kejadian," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Johainin Ruslan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.29 petang Sabtu.

Katanya, sebaik laporan diterima, sepasukan anggota dikejar ke lokasi kejadian dan terdapat seorang mangsa dikhuatiri lemas.

"Operasi pencarian segera dilakukan dengan menggunakan bot namun tidak menemui mangsa. Operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 7 malam kerana keadaan yang gelap dan air bergelora.

"Usaha mencari akan disambung hari ini (Ahad) namun bomba dimaklumkan pada jam 6.20 pagi mangsa sudah ditemui oleh orang awam," katanya.

Johainin berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.