X

Kindly register in order to view this article
!

Budak dua tahun derita badan, muka dipenuhi lepuhan air

Penyakit 'epidermolysis bullosa' yang ditanggung Muhammad Qawiy Mohamad Abdullah turut menyebabkan pergerakan terbatas. - Foto Astro Awani
A
A

BESUT - Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun terpaksa menahan derita selepas seluruh badan termasuk muka dipenuhi dengan lepuhan air sejak lahir.

Penyakit 'epidermolysis bullosa' yang ditanggung Muhammad Qawiy Mohamad Abdullah turut menyebabkan pergerakan terbatas.

Menurut bapanya, Mohamad Abdullah Talib, sejak lahir anak keduanya itu tidak boleh memakai baju dan seluar dan hanya menggunakan kain lampin sebagai alas.

Katanya selain itu krim perlu disapu dulu sebelum memakai lampin pakai buang bagi mengelakkannya melekat pada bahagian kulit.

"Sudah dua tahun tidak mandi, hanya lap dengan tisu basah kerana kulit dia kalau terkena air akan rasa pedih," katanya.

Mohamad Abdullah berkata, dia bersama isterinya yang tinggal di Kampung Pulau Panjang, Besut

perlu memberi tumpuan yang lebih dan menjaga anaknya dengan lebih berhati-hati.

Katanya meskipun pada awalnya agak sukar untuk mengendalikannya namun mereka reda dengan dugaan itu.

Sementara itu ADUN Jerteh, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, pihaknya akan beriktiar bagi membantu dan meringankan beban yang ditanggung keluarga berkenaan.

"Kos segala alat atau alat perubatan yang diperlukan adalah agak tinggi jadi kami sedang berusaha untuk mendapatkan bantuan untuk keluarga ini.

"Bantuan tersebut daripada pihak kerajaan sama ada daripada kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga ini," katanya.

Setiap bulan pasangan berkenaan terpaksa membelanjakan hampir RM700 untuk keperluan anaknya termasuk menyediakan krim dan pelekat khas. - Awani


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!