PKS perlu teroka kaedah baharu bina semula perniagaan

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 907,065 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia mengharungi tempoh yang amat tidak menentu ketika ini dari hari ke sehari kelihatannya amat mustahil bagi mereka untuk meramalkan apa yang akan berlaku seterusnya.

Perniagaan di seluruh negara terjejas teruk selepas penularan pandemik Covid-19 yang sampai sekarang nampaknya masih tidak ada penghujungnya.

Dalam hal ini, usahawan perlu untuk hidup dalam keadaan norma baharu, yang sudah tentunya akan banyak melibatkan penggunaan teknologi apabila perniagaan mengambil iktibar semasa penularan pandemik tersebut, kata seoarang ahli ekonomi.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, perniagaan kecil perlu mengetahui bagaimana mereka boleh mendapatkan bantuan bagi menambah baik operasi perniagaan, jualan dan segmentasi pasaran mereka dengan menerapkan penggunaan teknologi dalam setiap aspek perniagaan.

Justeru, katanya, semua PKS perlu meneliti apakah bantuan yang disediakan agensi kerajaan berkaitan yang boleh membantu mereka mentransformasikan perniagaan mereka dengan cara yang paling cekap dan kos efektif.

Sebagai contoh, geran padanan bernilai sehingga RM5,000 yang disediakan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bagi mendigitalkan perniagaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh PKS berkaitan dengan penerimaan pakai teknologi.

“Dari satu segi, pandemik ini telah menyedarkan PKS bahawa ancaman terhadap perniagaan boleh datang dalam pelbagai bentuk keadaan. Oleh itu, amat penting bagi mereka untuk bersiap siaga menghadapi cabaran dan bertindak pantas menanganinya,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, selain daripada pendigitalan dan penerimaan pakai teknologi, perniagaan perlu terbuka untuk mempelbagaikan hasil mereka dan ini bermakna mereka perlu meneroka industri lain agar mereka tidak terlalu bergantung kepada hanya satu sumber hasil.

Artikel Berkaitan:

“Barangkali, menjalin usaha sama atau mencari rakan kongsi boleh menjadi pilihan untuk melindungi bahagian pasaran dan memperoleh kecekapan operasi,” syor beliau.

Menjelas lebih lanjut, beliau berkata, penyelidikan dan pembangunan serta menambah kemahiran memerlukan masa dan penggunaan wang.

Menurutnya, PKS tidak begitu yakin pelaburan sedemikian akan membantu melindungi mereka daripada ancaman persaingan sengit dan kejutan ekonomi.

“Bagi merapatkan jurang antara faktor kebimbangan mereka dengan apa yang tersedia kepada mereka, libat urus berterusan dengan agensi kerajaan berkaitan akan membantu PKS mendapat gambaran jelas bagaimana mereka perlu memanfaatkan langkah-langkah dan insentif yang disediakan oleh kerajaan.

“Ia mungkin termasuk menganjurkan bengkel, persidangan dan pameran yang boleh membantu mengurangkan kebimbangan atau salah faham dalam kalangan PKS mengenai keperluan untuk menambah kemahiran perniagaan mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Perbankan Komersial HSBC Malaysia, Andrew Sill berkata, PKS perlu mempunyai asas pengurusan tunai yang tepat dan kukuh.

Beliau berkata, prinsip asas seperti menyediakan pembayaran dengan data nilai yang tepat, mengumpulkan belum terima dengan penyesuaian masa nyata dan membayar invois tepat pada masanya, akan menyediakan lebih banyak manfaat berbanding berjimat beberapa ribu dolar daripada hasil perbincangan penentuan harga yang sukar atau merundingkan tarif yang betul.

“Sebaik sahaja perniagaan telah memperkukuhkan pendekatan mereka ke atas pengurusan tunai, mereka berkedudukan baik untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat, sama ada perlu meminjam untuk menambah modal kerja atau sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, mempunyai fleksibiliti tunai seumpama ini membolehkan PKS untuk membuat bayaran yang lebih cepat kepada pembekal dan membincangkan kadar dan terma yang lebih memuaskan.

Penyelesaian ini merangkumi pembiayaan belum terima pengurusan pembiayaan dengan menerima modal yang setara dengan baki belum jelas invois yang telah dibilkan, namun belum dibayar.

Menurutnya, yang kedua, pembiayaan rantaian bekalan set penyelesaian automatik bagi menyokong urus niaga yang lebih efisien, membolehkan pembekal meluluskan invois dan mengakses modal bersama diskaun dan akhir sekali dan tidak kurang pentingnya jaminan, yang boleh diberikan untuk membantu syarikat membuat tuntutan tidak membayar wang.

Tidak ada sesiapa yang mampu menganggarkan impak sepenuhnya daripada pandemik ini, namun jelas sekali kesan ekonomi terhadap rakyat dan syarikat adalah amat besar.

Bagi membantu PKS mempercepatkan pendigitalan perniagaan, platform perkhidmatan pendigitalan vendor, WhyQ, baru-baru ini berkembang ke pasaran Malaysia dengan sasaran mendigitalkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui penyelesaian moden dan maju yang diperlukan untuk menjalankan perniagaan.

Platform ini membolehkan mereka beroperasi secara dalam talian untuk e-kedai khusus, mengawasi jualan dan perbelanjaan, merekodkan urus niaga debit dan kredit melalui peringatan WhatsApp yang mudah digunakan, di samping mendekati pelanggan melalui alatan pemasaran khas.

WhyQ berhasrat memperkenalkan WhyQ Mart yang dijadual dilancarkan di Malaysia dalam masa beberapa bulan lagi sebagai sebahagian daripada pelbagai perkhidmatannya untuk memberi manfaat kepada peniaga.

Melalui perkhidmatan ini, peniaga akan dihubungkan secara langsung dengan senarai pembekal berbeza yang boleh dipilih untuk bekerjasama secara sistematik dan mudah, membolehkan mereka memesan bahan mentah seperti daging dan ayam itik mengikut keperluan mereka daripada pembekal pada skala yang lebih besar.

WhyQ menyasar 2,000 PMKS tempatan menyertai platform mereka menjelang akhir Julai dan 20,000 peniaga pada akhir tahun ini. - Bernama