Malaysia dicadang ada indeks ukur kesejahteraan psikologi

Gambar hiasan - Foto: 123RF, gambar kecil: Lam Thye
Gambar hiasan - Foto: 123RF, gambar kecil: Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM – Sudah tiba masanya Malaysia mempunyai alat untuk mengukur kesejahteraan psikologi rakyat.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ini dapat dilakukan melalui pengenalan istilah dan rujukan termasuk parameter untuk pengembangan indeks kesejahteraan psikologi.

Menurutnya, mereka yang menyumbang kepada pembangunan negara perlu mempunyai pemikiran positif, matang dan kemampuan untuk menjadi produktif serta inovatif.

"Negara ini perlu meningkatkan usaha untuk mewujudkan rakyat Malaysia yang seimbang dari segi fizikal, emosi dan rohani.

“Kejayaan sesebuah negara tidak hanya ditentukan oleh aspek ekonomi tetapi pembangunan modal insan berteraskan profesionalisme, kebijaksanaan dan kesihatan mental yang baik," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Lam Thye memberitahu, masyarakat kini sedang menghadapi masalah kemurungan yang serius dan lebih teruk akibat wabak Covid-19.

“Statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan lebih 300 juta orang di seluruh dunia mengalami gangguan emosi yang disebut sebagai kemurungan klinikal,” ujarnya.

Menurutnya, kemurungan kebiasaannya tidak didiagnosis dengan ketara.

Artikel Berkaitan:

“Ia tidak dianggap serius seperti penyakit yang melibatkan fizikal. Kemurungan atau depresi tidak pernah mendapat perhatian yang serius seperti penyakit lain,” katanya.

Tegasnya, sudah tiba masanya negara ini mengambil langkah memulakan inisiatif merawat kemurungan seperti penyakit serius yang lain.

“Pada masa kini, kaedah utama tidak lengkap dan mereka tidak menggunakan kaedah terbaik untuk merawat kemurungan seperti penyakit kronik yang lain,” jelasnya.