Polis akan panggil penganjur konvoi #Lawan

Peserta konvoi Kempen #Lawan pada Sabtu mengibarkan bendera hitam sambil membunyikan hon kenderaan mereka. Gambar kecil: Mohamad Zainal
Peserta konvoi Kempen #Lawan pada Sabtu mengibarkan bendera hitam sambil membunyikan hon kenderaan mereka. Gambar kecil: Mohamad Zainal
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan memanggil penganjur kempen #Lawan yang berkonvoi sambil mengibarkan bendera hitam di ibu kota pada Sabtu kerana didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, sebanyak 15 kereta yang menyertai konvoi berkenaan didapati membawa penumpang lebih daripada jumlah yang dibenarkan.

“Penganjur konvoi tersebut akan dipanggil dalam masa terdekat untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 21A Akta 342, Perkara 17 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB), Plan Pemulihan Negara (PPN) 2021,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan polis mengenalpasti kesemua peserta konvoi menerusi satu rakaman video.

Orang ramai turut diingatkan untuk tidak menyertai satu lagi perhimpunan anjuran #Lawan yang dijangka berlangsung pada 31 Julai ini kerana semua aktiviti sosial dilarang sepanjang tempoh PKP.

Difahamkan konvoi tersebut sebagai sebahagian daripada tanda protes kempen #Lawan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Artikel Berkaitan: