Penjawat awam didakwa palsu dokumen pembekalan benih nanas

Hasren (tengah) didakwa atas pertuduhan memalsukan dokumen pembekalan benih nanas berjumlah RM41,025 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Ahad.
Hasren (tengah) didakwa atas pertuduhan memalsukan dokumen pembekalan benih nanas berjumlah RM41,025 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Seorang Pembantu Ehwal Ekonomi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas empat pertuduhan memalsukan dokumen pembekalan benih nanas berjumlah RM41,025 enam tahun lalu.

Tertuduh Hasren Amat Sibani@ Fahrudin, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, Hasren dengan niat memperdayakan prinsipalnya iaitu Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia suatu dokumen pesanan pembekalan benih yang mengandungi butiran matan palsu iaitu pembekalan tidak dibekalkan sepertimana dalam tuntutan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu Pejabat Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia Wilayah Selatan di Pontian pada April, Mei dan Disember 2015.

Kesemua pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama, yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ikhwan Ihsan Jalaludin memohon ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin

Bagaimanapun peguam Mohd Salleh Togimin yang mewakili tertuduh memohon jaminan terbabit dikurangkan dengan alasan tertuduh menanggung seorang isteri, tiga orang anak dan dua anak saudara.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin selain memerintahkan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan 25 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.