Muip salur RM40,000 siapkan surau sekolah pondok

Asmadi (kiri) melawat surau Pondok Ribat Sullamuttaufiq, Pekan.
Asmadi (kiri) melawat surau Pondok Ribat Sullamuttaufiq, Pekan.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) telah menyalurkan sumbangan RM40,000 kepada pengurusan Pondok Ribat Sullamuttaufiq, Pekan bagi menyiapkan kerja pembinaan surau sekolah itu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Muip, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, sumbangan itu dapat membantu menampung kos perbelanjaan pembinaan surau terbabit.

"Saya difahamkan, surau itu dalam fasa akhir pembinaan dan diharap sumbangan diberikan ini dapat menyegerakan pembinaannya.

"Lagipun tidak lama lagi, pelajar-pelajar pondok akan kembali ke sekolah setelah diberikan kebenaran oleh kerajaan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Beliau hadir bersama Pengerusi Pondok Ribat Sullamuttaufiq, Jamalizan Jalil, dan Mudir Ismail Ahmad ketika melawat surau terbabit.

Surau Pondok Ribat Sullamuttaufiq, Pekan sudah di fasa akhir pembinaan.
Surau Pondok Ribat Sullamuttaufiq, Pekan sudah di fasa akhir pembinaan.

Sementara itu, Asmadi berkata, pihaknya bersama pegawai Muip Cameron Highlands telah menjalankan ziarah asnaf di Kampung Raja pada Khamis lalu.

Jelasnya, sumbangan berupa hamper makanan telah disampaikan kepada asnaf bagi meringankan beban sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

"MUIP sentiasa bersedia membantu warga di daerah Cameron Highlands. Orang ramai juga boleh terus menyalurkan maklumat kepada pihak Muip Cameron Highlands di aplikasi whatsApp Muip CH 0199137235.

"Semoga kita semua tabah dalam menghadapi ujian wabak ini dan terus kekal menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang telah disarankan," katanya.