Vaksin jadi perisai, pesakit lengkap dos hanya alami gejala ringan

Nurul Ezuahani Samad Fatimi, 32, (kiri) dan Muhammad Khuzaimi Ishak, 30, (kanan) memegang playkad 'Vaksin Selamat' ketika lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 pada akhir Mac lalu.
Nurul Ezuahani Samad Fatimi, 32, (kiri) dan Muhammad Khuzaimi Ishak, 30, (kanan) memegang playkad 'Vaksin Selamat' ketika lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 pada akhir Mac lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dijangkiti virus pembunuh Covid-19 dengan pelbagai varian baharu yang lebih ganas ketika ini, pastinya menjadi pengalaman ngeri khususnya mereka yang dikategorikan golongan berisiko termasuk yang menghidap asma.

Namun bagi seorang petugas kesihatan, Nurul Ezuahani Samad Fatimi, 32, beliau bernasib baik kerana mempunyai ‘perisai’ setelah selesai menerima dua dos vaksin pada akhir Mac lalu, membolehkan antibodi di dalam badannya itu melawan virus itu sekali gus mengelakkannya mengalami jangkitan lebih teruk.

Bagi juru x-ray di sebuah hospital di ibu negara itu, pelbagai perasaan bercampur baur sebaik disahkan positif penyakit itu pada 7 Julai lalu, lebih-lebih lagi kerana beliau merupakan seorang pesakit asma selain turut menghadapi masalah obesiti.

"Ketika itu saya hanya membayangkan nasib suami (Wan Mohd Sabri, 57) dan dua anak (Wan Sabriena 23 tahun dan Wan Mohd Shafiq Shah, 21 tahun) kerana risau mereka akan turut dijangkiti, namun alhamdulillah hasil suntikan vaksin yang diambil, saya disahkan menghidap Covid-19 kategori dua.

"Saya mengalami simptom ringan seperti gatal tekak dan hidung tersumbat. Saya tidak boleh bayangkan kalau terkena jangkitan sebelum mengambil vaksin dalam keadaan variannya lebih ganas dan berbahaya ketika ini, pasti saya tidak boleh survive," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurutnya lebih melegakan, virus tersebut juga tidak menjangkiti suami dan dua anaknya yang tinggal serumah.

Sepanjang menjalani kuarantin di sebuah hotel, Nurul Ezuahani tidak mengambil ubat-ubatan sebaliknya hanya mengamalkan pemakanan sihat serta pengambilan vitamin C.

"Mengikut pengalaman, vaksin ini juga sedikit sebanyak mengurangkan risiko jangkitan kepada orang lain yang keluarga dan rakan terdekat tidak dijangkiti walaupun kalau ikutkan hasil saringan saya sudah agak lama dijangkiti sebelum sedar telah menghidap virus ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Berkongsi pengalaman serupa, Muhammad Khuzaimi Ishak, 30, dari Kuala Lumpur, juga hanya yang mengalami simptom sakit tekak, hidung tersumbat serta hilang deria bau selepas disahkan positif penyakit itu pada awal Julai ini.

"Nilai CT (Cycle Threshold value ataupun nilai kitaran ambang) yang dikesan ketika saringan adalah rendah iaitu 15 yang dikategorikan sebagai bahaya serta menunjukkan virus sedang aktif dalam badan,” katanya.

Menurutnya walaupun pengambilan vaksin bukan jaminan untuk tidak terkena jangkitan namun ia menjadi ikhtiar dalam melindungi kesihatan selain berasa lebih terjamin.

"Sepanjang 10 hari kuarantin, setiap hari saya berfikir bagaimanalah agaknya nasib jika terkena jangkitan sebelum divaksin, adakah akan lebih teruk daripada yang dialami sekarang.

"BMI saya juga tidak ideal dan mungkin saya akan sesak nafas ke, sakit dada, masuk hospital, itu saya tak tahulah,” katanya yang juga bekas pesakit kategori dua.

Beliau yang bertugas sebagai juru-x ray di sebuah hospital kerajaan di ibu negara, berpendapat pengambilan vaksin memberi keyakinan dan motivasi kepada dirinya untuk tidak berfikiran negatif sepanjang melawan virus tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini dilaporkan berkata, individu lengkap vaksinasi boleh dijangkiti Covid-19, namun kemungkinan untuk menjangkiti individu lain adalah rendah, selain akan mengalami simptom yang tidak teruk berbanding mereka yang tidak divaksinasi. - Bernama